Orang awam dipindahkan segera keluar dari Donbas


Saudara dan rakan seorang tentera Ukraine yang maut dalam pertempuran di Donbas ketika diserang Russsia, hadir majlis pengebumiannya di Kyiv. – Gambar EPA, 7 Julai, 2022.

PROSES pemindahan orang awam dari Sloviansk dipercepatkan semalam ketika tentera Russia bergerak menuju ke utara bandar Ukraine itu, dalam usaha merampas kawalan di wilayah Donbas.

Sloviansk diserang dengan bom bertubi-tubi sementara tentera Russia terus bergerak ke arah barat pada hari ke-133 pencerobohan.

Wartawan AFP melihat bedilan roket menyasarkan pasar dan kawasan persekitaran di Sloviansk, dengan anggota bomba bergelut memadam kebakaran akibat serangan itu.

Kira-kira satu pertiga daripada pasar itu musnah dan penduduk tempatan memeriksa sisa daripada kemusnahan berkenaan, namun kawasan yang terselamat masih boleh berfungsi, dengan sejumlah penduduk membeli buah dan sayur di pasar itu.

Datuk Bandar Sloviansk Vadym Lyakh berkata kira-kira 23,000 daripada 110,000 penduduk masih berada di Sloviansk, dan mendakwa Russia masih gagal mengepung bandar itu.

“Sejak serangan bermula, 17 penduduk terkorban dan 67 cedera. Proses pemindahan masih berjalan. Kami membawa keluar penduduk setiap hari ke bandar Dnipro menggunakan bas.

“Bandar ini masih kukuh. Russia dilihat tidak dapat bergerak maju ke dalam bandar ini,” katanya.

Donbas merangkumi sebahagian besar wilayah Lugansk, yang hampir berjaya ditawan sepenuhnya tentera Russia, manakala Donetsk menjadi tumpuan serangan Moscow dan menempatkan bandar Sloviansk.

Kejatuhan bandar Lysychansk di Lugansk Ahad lalu, seminggu selepas tentera Ukraine berundur dari Severodonetsk, kini membolehkan tentera Russia untuk misi lain.

Gabenor Donetsk Pavlo Kyrylenko berkata tentera Russia membunuh lima orang awam dan mencederakan 21 yang lain di wilayah itu, Selasa lalu.

Gabenor Lugansk Sergiy Gayday pula menegaskan Russia tidak mengawal sepenuhnya wilayah itu, dan memaklumkan pertempuran masih berlangsung di dua perkampungan. – AFP, 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen