Bersatu makin kuat di Kelantan jasa PAS, kata pemimpin bahagian, penganalisis


Diyana Ibrahim

BERSATU mampu memperbaiki prestasinya di Kelantan dan beberapa negeri lain melalui kerjasama dalam Perikatan Nasional  (PN) bersama PAS, kata pemimpin bahagian dan penganalisis politik.

Mereka meramalkan sokongan terhadap PN akan melonjak bukan sahaja di Kelantan, Terengganu, dan Kedah bahkan akan meluas di Pahang dan utara Perak.

Ketua Bahagian Bersatu Pasir Mas Che Johan Che Pa memberitahu The Malaysian Insight, parti tersebut mendapat keuntungan dengan kekuatan jentera dan akar umbi PAS.

Jelasnya, ia memberi kekuatan baharu kepada Bersatu yang gagal bertapak di Kelantan sewaktu bertanding bersama Pakatan Harapan (PH) dalam PRU14.

“Sentimennya jelas, PH baru di Kelantan dan pengundi pula ketika itu anti-BN. Pilihan yang ada ialah mengundi PAS,” katanya.

Dalam PRU14, Bersatu sewaktu masih dalam PH kalah besar dan hilang deposit di lima kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan lapan kerusi Parlimen.

Bersatu hanya berjaya menguasai kerusi Parlimen di Kelantan apabila dua wakil rakyat, Mustapa Mohamed (Jeli) dan Ikmal Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) lompat parti dari Umno.

Mereka antara 10 ahli Parlimen BN yang berpaling tadah selepas kekalahan parti tersebut dalam PRU14.

Tanah Merah menjadi lokasi pelancaran PN Kelantan pada hujung minggu lalu dalam usaha kedua-dua parti untuk mengekalkan pentadbiran di negeri itu dan juga Putrajaya.
 
Mengulas perkembangan berkenaan, Che Johan menjangka Bersatu sudah tentu akan dapat memperbaiki prestasinya apabila bersama dengan PAS.

Malah beliau berkata tanpa PAS, Bersatu sudah tentu sukar bertanding PRU15 kerana kelemahan jentera, sokongan akar umbi dan ketokohan pemimpinnya.

“Terus terang saya katakan, kalau tanpa PAS, Bersatu sukar untuk menang di Kelantan. Ia sukar kerana kelemahan jentera Bersatu. Ada juga pemimpin yang saya kira tidak mesra dengan akar umbi.

“Saya bangkitkan ini bukanlah mahu menjatuhkan parti tapi sebagai pemimpin akar umbi saya mahu kelemahan ini diperbaiki terutama bila kita nak berdepan dengan PRU15,” katanya.

Beliau bagaimanapun menafikan sokongan PAS di Kelantan akan tergugat kerana isu bekalan air dan masalah pembalakan berleluasa, yang didakwa akan  memberi tempias kepada Bersatu.

Che Johan berpendapat, sekiranya sokongan PAS terjejas sekalipun, ia berkait dengan isu kos sara hidup dan prestasi buruk pemimpin parti itu dalam kerajaan pusat.

Bagaimanapun, beliau percaya isu berkenaan tidak akan menyebabkan PAS tewas dalam pilihan raya tersebut kerana menurutnya parti Islam itu juga akan mendapat sokongan melalui PN.

“Isu kos sara hidup (akan memberi kesan dalam pilihan raya), dan PAS banyak terkena balik semasa jadi kerajaan. Jadi ini antara yang mungkin boleh menjejaskan PAS.

“Tapi saya tidaklah kata PAS akan kalah, terutama bila dengan PN dan dengan kepimpinan Muhyiddin,” katanya.

Ketua Bahagian Bersatu Tanah Merah Bahari Mohd Nor juga mengakui kerjasama dengan PAS memberi kelebihan kepada parti itu di negeri tersebut untuk menarik pengundi Melayu atas pagar.

“Bersatu memang dapat banyak manfaat daripada PAS terutama di Kelantan ini, hakikatnya memang PAS ini dominan dan bila kita sebahagian daripada pakatan sudah tentu tempias itu ada.

“Tapi kita juga ada kekuatan sendiri.

“Kita tahu rakyat sekarang memerlukan suasana politik yang baharu lebih segar dan mahukan politik kepercayaan dan ini ditawarkan oleh Bersatu, PN tidak ada pada parti lain,” katanya.

Jelasnya, Bersatu berpeluang untuk meraih sokongan golongan pengundi Melayu ini yang menurutnya menolak Umno tetapi enggan memilih PH kerana kaitan dengan DAP.

Ditanya mengenai rundingan dengan PAS untuk agihan kerusi bagi PRU15, Bahari berkata perkara itu masih belum diputuskan oleh pemimpin tertinggi kedua-dua parti.

Namun setakat ini Bersatu Kelantan mengintai lapan kerusi yang kini dikuasai Umno dalam PRU tersebut, katanya.

Prestasi PAS di Putrajaya, isu kos sara hidup

Penganalisis politik pula melihat kerjasama PAS dan Bersatu munasabah kerana kedua-dua parti saling melengkapi satu sama lain pada waktu ini.

Pengarah Ilham Centre, Hisomuddin Bakar berkata ia dapat dilihat apabila sokongan kepada PAS meningkat sekali ganda melalui PN dalam pilihan raya negeri Johor dan Melaka.

Bahkan tidak mustahil prestasi baik itu akan diteruskan dalam PRU15 apabila sokongan ke atas PN akan meningkat di Pahang dan utara Perak, katanya.

“Mereka akan  kekal di Kelantan, Terengganu, Kedah sebab itu negeri yang mereka menang (tetapi) di negeri mereka kalah pun sokongan meningkat.

“Jadi logiknya di negeri mereka menang sudah tentu akan dapat kekalkan status quo kemenangan itu dengan sokongan Bersatu. Walaupun tidak banyak tapi sudah memadai beri kelebihan kepada PAS untuk bertahan.

“Malahan unjurannya mungkin akan berlaku pertambahan di negeri utara Perak, dan Pahang akan berlaku lonjakan sokongan kepada PN,” katanya.

Hisomuddin berkata persediaan dilakukan PN untuk mengumpulkan kekuatan jentera seperti semasa pelancaran di Kelantan pada Sabtu lalu menunjukkan ia mampu menyaingi Umno.

Tambahnya PN juga boleh mengambilkan kesempatan menguatkan sokongan ketika Umno berdepan dengan konflik dalaman parti pada waktu ini.

PH pula dilihat terikat dengan perjanjian persefahaman (MoU) yang ditandatangani untuk membolehkan Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai perdana menteri, jelasnya.

“Dan pada masa sama PH juga seolah-olah terperangkap dengan MoU dan tidak nampak persediaan mereka menghadapi PRU.

“Dan saya nampak lepas dari PRN Johor dan pelancaran PN di Kelantan seakan-akan menghidupkan momentum,” katanya.

Penganalisis politik, Mazlan Ali juga sependapat dan melihat Bersatu berupaya mengalihkan sokongan undi Melayu dan bakal menggugat Umno di kawasan terbabit.

Jelasnya, pengundi Bersatu merupakan pengundi dari segmen bercampur terdiri dari pengundi tradisi yang menyokong Umno dan juga Melayu progresif menolak DAP.

“Kalau kita lihat pengundi Umno, mereka ini pengundi tradisional dan di kampung. Ini yang dikatakan peti deposit bagi Umno.

“Bagi pengundi PH ini adalah Melayu dari pemikiran terbuka. Tapi tidak ramai hanya mewakili 10% sahaja,

“Manakala Bersatu adalah pengundi bercampur antara kumpulan tadi dengan Melayu progresif tapi menolak DAP.

Beliau juga mengesahkan senario itu boleh dilihat dalam PRN Johor dan Melaka di mana peratusan undi PH merosot dan ia dilihat beralih kepada PN.

PRU15 bakal menyaksikan pertandingan merebut 14 kerusi Parlimen dan 45 kerusi DUN. – 7 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen