SETIAUSAHA Negara Amerika Syarikat (AS) Antony Blinken dijadual melawat Thailand pada 9 dan 10 Julai bagi memperkukuh pakatan dan perkongsian strategik Thailand-AS.
Kementerian Luar Thailand memaklumkan ia merupakan lawatan sulung Blinken ke negara gajah putih itu selepas memegang jawatan berkenaan.
Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Prayuth Chan o-cha dan Timbalan Perdana Menteri Don Pramudwinai yang juga Menteri Luar.
“Lawatan itu juga akan menggalakkan kerjasama dalam pelbagai bidang berdasarkan nilai yang dikongsi bersama dan membawa manfaat kepada kedua-dua negara dan rantau ini,” menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.
Blinken dijadual melawat Pusat Operasi Kecemasan Kementerian Kesihatan Awam Jabatan Kawalan Penyakit di Nonthaburi dan Pusat Perlindungan Kebajikan Kementerian Pembangunan Sosial dan Keselamatan Manusia untuk mangsa pemerdagangan di wilayah Pathum Thani.
Lawatan ke kedua-dua lokasi itu menyerlahkan kepentingan kerjasama Thailand-AS untuk memperhebat sektor kesihatan awam serta memerangi kes pemerdagangan manusia.
Blinken pada mulanya dijadual melawat Bangkok pada Disember lalu ketika siri jelajah ke Asia Tenggara tetapi lawatannya terpaksa dipendekkan selepas seorang wartawan yang mengiringi rombongannya disahkan positif Covid-19 selepas tiba di Malaysia.
Sementara itu, jurucakap Jabatan Negara AS Ned Price berkata Blinken berharap dapat membincangkan pelbagai isu termasuk kejayaan agenda APEC 2022 Thailand selaku tuan rumah APEC 2023, memperkukuh kerjasama dalam bidang kesihatan dan iklim, serta menangani krisis di Myanmar.
“Gabungan AS-Thailand adalah penting untuk memajukan Strategi Indo-Pasifik Presiden (Joe Biden) untuk menjadikan wilayah ini bebas dan terbuka, bersaling hubung, makmur, selamat dan berdaya tahan,” katanya dalam satu kenyataan.
Lawatan Blinken ke Thailand adalah sebahagian daripada rangka lawatannya ke rantau ini termasuk kunjungannya ke Bali, Indonesia bagi menghadiri mesyuarat Menteri Luar G20, bermula Rabu.
Kunjungan beliau dijangka mengukuhkan lagi komitmen terhadap kerjasama membabitkan rakan kongsi antarabangsa bagi menghadapi cabaran global, termasuk krisis makanan dan tenaga serta ancaman operasi ketenteraan berterusan Rusia terhadap Ukraine.
Selain menghadiri pertemuan berkaitan G20, Blinken dijadual mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Luar Indonesia Retno Marsudi.
Blinken juga akan bertemu dengan Menteri Luar China Wang Yi di sisi mesyuarat G20. – Bernama, 6 Julai, 2022.
Komen