NAIB Perdana Menteri China, Liu He pada Selasa mengadakan perbincangan menerusi video dengan Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat (AS), Janet L. Yellen yang antara lain membincangkan mengenai situasi ekonomi makro serta kestabilan rantaian perindustrian dan bekalan global.
Perbincangan itu sekali gus memperlihatkan usaha AS untuk menyelesaikan isu seperti inflasi dan rantaian bekalan.
Dalam hal ini, China kekal bersikap terbuka dan percaya bahawa jalan keluar sudah sedia ada iaitu AS perlu membatalkan tarif tambahan dan sekatan terhadap produk China, serta berlaku adil terhadap syarikat China.
Perbincangan kedua-dua pihak itu menyusul selepas perbincangan antara Presiden China Xi Jinping dan Presiden Joe Biden menerusi telefon pada Mac lalu.
Xi dan Biden menegaskan perlunya persaingan dan perselisihan ditangani secara berkesan, serta memastikan hubungan bilateral terus berkembang dengan stabil.
Menurut statisitik Institut Ekonomi Antarabangsa Peterson AS, sekiranya tarif tambahan yang dikenakan dalam perang perdagangan menyasarkan China dibatalkan, inflasi di negara itu mampu diturunkan sebanyak satu peratus.
Namun, menurut Xi hubungan China-AS bukan sahaja gagal mengatasi gangguan sejak pentadbiran bekas presiden Donald Trump, bahkan semakin banyak cabaran baharu muncul.
Satu daripada faktornya adalah sebahagian tokoh politik AS tidak melaksanakan persepakatan yang dicapai pemimpin kedua-dua negara, termasuk kenyataan positif Biden mengenai hubungan bilateral.
Berdasarkan laporan media AS, Biden dijangka membatalkan sebahagian tarif tambahan yang dikenakan ke atas produk China dalam minggu ini.
Bagaimanapun, masih terdapat media melaporkan bahawa keputusan muktamad belum dikeluarkan susulan berlakunya bantahan daripada Wakil Perdagangan AS, Katherine Tai.
Menurutnya, tarif tambahan memberi lebih banyak kuasa bertindak kepada AS dalam rundingan perdagangan dengan China.
Dalam situasi getir, adalah penting untuk fahami tugas tokoh tertentu adalah untuk berunding dengan pelbagai negara bagi menjamin kehidupan bahagia rakyat AS, bukannya memperlihatkan imej anti-China demi laba politik.
Untuk rekod, ada beberapa tokoh besar dalam kerajaan Biden yang tidak patuh dengan kesepakatan yang telah dicapai pemimpin mereka iaitu ‘tidak perang dingin dengan China, tidak akan mengubah sistem pentadbiran China atau menentang China melalui pengukuhan ikatan sekutu, serta tiada niat untuk berkonflik dengan China’.
Meskipun menghadapi banyak gangguan, komunikasi antara China dan AS dalam pelbagai peringkat masih lancar.
Selain komunikasi antara pemimpin utama kedua-dua negara, pertemuan pegawai kanan dalam bidang ketenteraan dan ekonomi turut diadakan untuk membantu menyuntik keyakinan kepada dunia mengenai situasi geopolitik yang stabil.
Namun demikian, keutamaan adalah memastikan semua persepakatan yang tercapai dapat diterjemah dalam bentuk tindakan, bukannya sekadar cakap kosong semata-mata. – Bernama, 6 Julai, 2022.
Komen