PULUHAN juta penduduk di China dikenakan perintah berkurung hari ini selepas ratusan kes harian dan kluster baharu Covid-19 dikesan.
Pihak berkuasa kesihatan China hari ini melaporkan lebih 300 jangkitan, dengan beberapa kluster baharu dikesan di bandar bersejarah Xi’an dan Shanghai.
Ini mencetus kebimbangan China mungkin melaksanakan semula sekatan pergerakan ketat seperti awal tahun ini, di mana puluhan juta penduduk dikenakan perintah berkurung selama berminggu-minggu.
Di Shanghai, penduduk memaklumkan di media sosial mereka menerima bekalan makanan, manakala ujian saringan besar-besaran mula dijalankan.
Semua bar karaoke di bandar itu diarahkan tutup hari ini selepas beberapa jangkitan dikesan di enam lokasi.
Sementara di Xi’an, yang mempunyai 13 juta penduduk, diletakkan di bawah “sekatan sementara” selepas 29 kes Covid-19 direkodkan sejak Sabtu lalu. Kebanyakan kes dikesan dalam kalangan pekerja kitar semula.
Pihak berkuasa juga mengarahkan pusat hiburan awam termasuk pub, kafe internet dan bar karaoke di Xi’an itu ditutup bermula tengah malam hari ini.
Media kerajaan menunjukkan gambar penduduk Xi’an beratur panjang untuk menjalani ujian saringan selepas tengah malam tadi, tetapi menegaskan bandar itu tidak dikenakan perintah berkurung. – AFP, 6 Julai, 2022.
Komen