Subvarian Omicron BA.2.75 dikesan di New Zealand buat pertama kali


Analisis penjujukan genom mengesahkan dua kes jangkitan membabitkan subvarian baharu BA.2.75 yang pernah ke India baru-baru ini. – Gambar EPA, 6 Julai, 2022.

SUBVARIAN Omicron BA.2.75 dikesan di New Zealand buat pertama kali apabila negara itu merekodkan 9,629 kes penularan jangkitan tempatan dan 24 kematian baru-baru ini, menurut Kementerian Kesihatan pada Selasa.

Analisis penjujukan genom mengesahkan dua kes jangkitan membabitkan subvarian baharu BA.2.75., lapor Xinhua.

Kedua-dua kes terlibat dalam perjalanan ke India baru-baru ini, sebelum diuji positif Covid-19, menurut kementerian itu dalam satu kenyataan.

“Pada peringkat ini, tiada bukti BA.2.75 memerlukan langkah kawalan yang berbeza berbanding langkah kawalan Covid-19 sedia ada,” katanya, sambil menambah tiada bukti semasa yang subvarian itu memberi simptom lebih teruk.

BA.2.75 merupakan subvarian generasi kedua BA.2 yang dominan di New Zealand pada ketika ini.

Subvarian BA.2.75 diklasifikasi berbeza daripada BA.2, dan kajian mengenai penularan, gangguan terhadap sistem imun dan tahap sejauh mana serius penyakit itu masih di peringkat awal, menurut kenyataan itu.

New Zealand merekodkan 1,366,853 kes jangkitan Covid-19 setakat ini, selepas wabak itu melanda pada awal 2020. – Bernama, 6 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen