JKN Kedah sedia khidmat klinik statik di 3 PPS


Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo menasihati orang ramai suoaya patuh arahan pihak berkuasa dan mereka yang bergejala perlu dapatkan rawatan segera. – Gambar Facebook, 5 Julai, 2022.

JABATAN Kesihatan Negeri Kedah melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Baling menyediakan perkhidmatan klinik statik di tiga pusat pemindahan sementara (PPS) dari 8 pagi hingga 10 malam.

Pengarah Kesihatan Kedah Dr Othman Warijo berkata pegawai perubatan dan anggota paramedik ditempatkan di ketiga-tiga PPS yang membabitkan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jerai, Surau An-Nur di Taman Mesra Kupang dan SMK Agama Yayasan Khairiah.

“Perkhidmatan atas panggilan pula disediakan antara 10 malam hingga 8 pagi oleh Klinik Kesihatan Kupang bagi merawat kes-kes kecemasan,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata PKD Baling juga membentuk pasukan pengawasan kesihatan persekitaran yang melakukan pemeriksaan dan pengawasan secara berkala di PPS terbabit.

“Objektif pasukan ini adalah untuk memastikan tahap kebersihan, kawalan lipas, lalat dan tikus, kawalan nyamuk serta keselamatan bekalan makanan di PPS sentiasa terjamin.

Dr Othman juga berkata dua kemudahan Kementerian Kesihatan turut terjejas iaitu Klinik Desa Iboi dan Klinik Desa Kampung Pisang.

“Perkhidmatan di kedua-dua klinik dihentikan buat sementara sehingga keadaan keselamatan, hubungan jalan darat serta bekalan elektrik dan air pulih,” katanya sambil menambah perkhidmatan bagi penduduk setempat disediakan di Klinik Kesihatan Kupang terletak kira-kira lima kilometer dari kedua-dua klinik desa.

Beliau berkata Jabatan Kesihatan Negeri akan sentiasa memantau situasi banjir dan kesihatan semasa serta bekerjasama dengan pelbagai agensi dalam pengurusan bencana itu manakala sebarang perkembangan terkini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.         

Katanya orang ramai dinasihat agar sentiasa mematuhi arahan pihak berkuasa dan mereka yang mempunyai gejala seperti demam, sakit tekak, batuk serta selesema perlu mendapatkan rawatan segera.

“Sentiasa utamakan kebersihan diri dan persekitaran agar tidak terdedah dengan penyakit bawaan air dan makanan terutama penyakit leptospirosis, meliodosis dan keracunan makanan.

“Minum air yang bersih dan masak makanan dengan sempurna. Jika ada sebarang isu berkaitan kesihatan, sila hubungi Bilik Gerakan Pejabat Kesihatan Daerah Baling di talian 04-4706  164,” katanya.

Kejadian banjir dan fenomena kepala air yang berlaku petang semalam itu mengorbankan tiga beranak manakala sembilan rumah musnah dihanyutkan arus deras. – Bernama, 5 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen