RUSIA pada Selasa berkata ia sedang menyiasat penyeksaan askarnya yang ditahan di Ukraine dan baru-baru ini dibebaskan sebagai sebahagian daripada pertukaran tahanan dengan Kyiv pada akhir Jun.
Jawatankuasa Siasatan Rusia, yang menyiasat jenayah besar, berkata dalam satu kenyataan ia “mengesahkan fakta ada perlakuan tidak berperikemanusiaan terhadap tahanan askar Rusia di Ukraine”.
Minggu lepas Moscow dan Kyiv bertukar 144 tawanan perang masing-masing, terbesar sejak konflik Rusia-Ukraine tercetus pada 24 Februari.
Jawatankuasa itu berkata, tentera Moscow memberitahu penyiasat tentang “seksaan yang mereka alami”.
Tambah kenyataan itu, salah seorang askar berkata pegawai perubatan Ukraine merawatnya tanpa ubat bius selain dia “dipukul, diseksa dengan elektrik waktu dikurung”.
Askar itu didakwa berkata dia ditinggalkan tanpa makanan dan air selama beberapa hari.
Seorang lagi askar Rusia yang cedera, yang telah dipotong bahagian kaki kirinya, berkata dia dipukul teruk dan lukanya disakitkan lagi oleh petugas kesihatan Ukraine, kata kenyataan itu.
Testimoni tentera Rusia yang dibebaskan adalah contoh “pelanggaran Konvensyen Geneva mengenai tawanan perang”, kata jawatankuasa Rusia. – AFP, 5 Julai, 2022.
Komen