SRI LANKA muflis dan dalam krisis ekonomi yang sangat dahsyat yang tidak pernah berlaku sebelum ini, malah ia dijangka berlarutan sehingga sekurang-kurangnya akhir tahun depan, menurut Perdana Menteri Ranil Wickremesinghe kepada Parlimen pada Selasa.
22 juta penduduk negara kepulauan itu telah mengalami inflasi yang melambung tinggi dan pemotongan tenaga yang berpanjangan selepas mata wang asing negara habis digunakan untuk mengimport barangan penting.
Wickremesinghe berkata negara yang dahulunya makmur itu akan mengalami kemelesetan yang teruk tahun ini dan kekurangan makanan, bahan api dan ubat-ubatan yang berterusan.
“Kami juga perlu menghadapi kesukaran pada 2023,” kata perdana menteri. “Inilah hakikatnya. Ini realiti.”
Beliau berkata rundingan bailout berterusan Sri Lanka dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) bergantung pada memuktamadkan pelan penstrukturan semula hutang dengan pemiutang menjelang Ogos.
“Kami kini ambil bahagian dalam rundingan sebagai negara muflis,” kata Wickremesinghe.
“Disebabkan keadaan negara kita muflis, kita perlu kemuka pelan kemampanan hutang kita kepada mereka secara berasingan. Hanya apabila (IMF) berpuas hati dengan rancangan itu, barulah kita boleh capai persetujuan.”
IMF minggu lalu berkata lebih banyak kerja diperlukan untuk menetapkan kewangan negara dengan betul dan membaiki defisit fiskalnya sebelum perjanjian boleh dibuat mengenai pengaturan pembiayaan bagi menangani krisis imbangan pembayarannya.
Sri Lanka kini hampir tiada petrol sepenuhnya dan kerajaan telah menutup perkhidmatan awam yang tidak penting dalam usaha untuk menjimatkan bahan api.
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menganggarkan kira-kira 80 peratus orang ramai tidak makan ikut waktu kerana kekurangan makanan dan harga yang terlampau mahal. – AFP, 5 Julai, 2022.
Komen