34 maut dalam serangan di Burkina Faso


Burkina Faso berdepan rampasan kuasa pada Januari lalu, selepas kolonel menggulingkan presiden Roch Marc Christian Kabore. – Gambar EPA, 5 Julai, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA 34 terbunuh dalam serangan ke atas kampung, dipercayai dilakukan ekstremis di utara Burkina Faso pada hujung minggu lalu, kata pegawai dan sumber, semalam.

Di barat laut negara itu, Gabenor wilayah Boucle du Mouhoun Babo Pierre Bassinga berkata 22 dilaporkan terbunuh Ahad lalu, termasuk kanak-kanak di Bourasso, wilayah Kossi.

“Lelaki bersenjata bergerak di sekitar kampung sekitar jam 5 petang, melepaskan tembakan ke udara. Mereka pulang pada waktu malam dan melepaskan tembakan secara membuta tuli ke arah orang ramai,” kata satu sumber keselamatan.

Di utara Burkina Faso, 12 maut dalam serangan di Namissiguima di wilayah Yatenga Sabtu lalu, kata sumber keselamatan lain, yang juga tidak mahu dikenali.

Tiga yang maut adalah anggota militia awam, Sukarelawan untuk Pertahanan Tanah Air (VDP) iaitu pasukan bantuan yang ditubuhkan pada Disember 2019 untuk menyokong tentera.

Burkina Faso, salah satu negara termiskin di dunia, bergelut dengan pemberontakan ekstremis yang melanda dari negara jiran, Mali pada 2015.

Kempen diketuai terutama kumpulan dikaitkan dengan Al-Qaeda dan Daesh, meragut ribuan nyawa dan memaksa kira-kira 1.9 juta orang melarikan diri.

Berdasarkan angka rasmi, lebih 40% negara itu berada di luar kawalan kerajaan.

Burkina Faso berdepan rampasan kuasa pada Januari lalu, selepas kolonel menggulingkan presiden Roch Marc Christian Kabore.

Pemimpin baharu, Leftenan Kolonel Paul-Henri Sandaogo Damiba, mengisytiharkan keselamatan sebagai keutamaannya, namun selepas keadaan agak reda, serangan diteruskan dengan ratusan nyawa terkorban. – AFP, 5 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen