Suspek tembakan perarakan 4 Julai ditahan


Pihak berkuasa berkawal di tempat kejadian tembakan rambang pada perarakan kemerdekaan 4 Julai di Highland Park, Illinois semalam. – Gambar AFP, 5 Julai, 2022.

POLIS menahan seorang suspek insiden tembakan rambang pada perarakan 4 Julai yang menyebabkan enam terbunuh di pinggir bandar Chicago, semalam.

Suspek dikenali sebagai Robert Crimo, 22, ditahan selepas operasi memburunya dilaksanakan besar-besaran merentasi bandar Highland Park di Illinois di mana, beberapa jam sebelum itu, sambutan perarakan hari kemerdekaan bertukar menjadi peristiwa menakutkan.

Suspek dipercayai melepaskan tembakan ke arah orang ramai yang mahu menyaksikan perarakan itu, menggunakan senapang berkuasa tinggi dari atas bumbung.

Insiden itu mencetuskan huru-hara dengan penonton panik selepas mendengar tembakan dan berlari menyelamatkan diri, meninggalkan semua barangan.

Pihak berkuasa berkata kira-kira 20 orang termasuk kanak-kanak dirawat kerana kecederaan tembakan, dengan beberapa mangsa dalam keadaan kritikal.

Pejabat sheriff Lake County berkata Crimo dalam tahanan.

Terdahulu, polis memberi amaran suspek bersenjata dan sangat berbahaya. – AFP, 5 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen