PIHAK berkuasa Arab Saudi menahan dan mendenda hampir 300 individu yang dikesan cuba menunaikan haji tanpa permit, ketika kerajaan negara itu sedang bersiap sedia untuk menerima sejuta jemaah haji.
Pada sidang akhbar disiarkan media kerajaan, ketua keselamatan haji Leftenan Jeneral Mohammed al-Basami berkata kira-kira 288 rakyat dan penduduk ditangkap kerana melanggar peraturan haji dan masing-masing didenda 10,000 riyal (RM11,759).
Mohammed berkata kawalan keselamatan turut dilakukan di sekitar Makkah dan menghalang hampir 100,000 orang yang menaiki lebih 69,000 kenderaan daripada masuk.
Seramai sejuta jemaah termasuk 850,000 dari luar negara, dibenarkan menunaikan haji pada tahun ini, selepas jumlah jemaah dihadkan secara drastik selama dua tahun akibat pandemik Covid-19.
Jumlah itu kurang berbanding 2.5 juta jemaah haji pada 2019 sebelum pandemik melanda, namun jauh lebih tinggi berbanding 60,000 dengan semuanya rakyat Arab Saudi lengkap vaksin, yang dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun lalu.
Pihak berkuasa berkata sekurang-kurangnya 650,000 jemaah tiba dari luar negara untuk menunaikan rukun kelima itu setakat Ahad lalu.
Ibadah haji secara rasmi bermula pada Rabu, namun bermula semalam jemaah melakukan ibadah termasuk tawaf. – AFP, 5 Julai, 2022.
Komen