TUJUH sekeluarga dibunuh di Mexico, kata pihak berkuasa, dan pada masa sama Presiden Andres Manuel Lopez Obrador berdepan kritikan yang semakin meningkat terhadap dasar keselamatannya.
Tiga wanita dan empat lelaki, termasuk seorang bawah umur, ditembak di rumah mereka di Boca del Rio di timur Veracruz, kata pejabat pendakwa raya.
Mereka adalah usahawan yang menjalankan rangkaian kedai daging, kata sumber keselamatan.
Lebih 340,000 terbunuh sejak Mexico mengerahkan tentera untuk memerangi kartel dadah pada 2006.
Kerajaan berkata kumpulan terbabit dalam jenayah pengedaran dadah, kecurian bahan api, penculikan dan pemerasan, bertanggungjawab atas kematian itu.
Pertikaian terhadap strategi keselamatan Lopez Obrador meningkat sejak dua paderi dibunuh pada 27 Jun di sebuah gereja di negeri utara Chihuahua.
Pemimpin Katholik menyertai pembangkang dalam mengkritik kerajaan.
Sabtu lalu, seorang anggota tentera maut dalam operasi di mana tiga individu dipercayai pengedar dadah ditangkap di Sonora, kata Obrador kepada pemberita semalam.
Beliau mempertahankan dasar keselamatannya, yang memberi tumpuan kepada menangani punca keganasan, termasuk kemiskinan.
“Kami yakin keganasan tidak boleh dihadapi dengan keganasan,” kata Obrador.
Beliau menggelarnya sebagai “kesilapan besar” bagi Mexico untuk mengisytiharkan perang terhadap jenayah pada 2006 di bawah presiden ketika itu, Felipe Calderon. – AFP, 5 Julai, 2022.
Komen