Ecuador rugi AS$1 bilion akibat protes rakyat


Dianggarkan 14,000 rakyat Ecuador menyertai tunjuk perasaan, kebanyakannya di Quito – membantah kesukaran yang dihadapi dalam ekonomi terutama akibat pandemik koronavirus. – Gambar EPA, 5 Julai, 2022.

SEPANJANG 18 hari protes diadakan oleh masyarakat orang asli di Ecuador, sebagai bantahan terhadap kos sara hidup yang tinggi, dengan jalan raya dan tangki minyak disekat, menyebabkan negara itu kerugian sekurang-kurangnya AS$1 bilion, kata bank negara.

Daripada keseluruhan kerugian, lebih tiga perempat ditanggung sektor swasta dan selebihnya negara, khusus bagi sektor minyak, kata gabenor bank pusat Guillermo Avellan kepada stesen televisyen Teleamazonas.

Protes itu yang menyebabkan terhentinya lebih 1,000 carigali menyebabkan pengeluaran minyak Ecuador hanya separuh berbanding kira-kira 520,000 tong sehari, kata kerajaan.

Sejak Ahad lalu, tiga hari selepas kerajaan dan pemimpin protes menandatangani perjanjian untuk mengakhiri protes itu, cari gali minyak pulih kepada 461,600 tong sehari.

Minyak mentah adalah eksport terbesar Ecuador.

Pemimpin protes, Leonidas Iza yang juga ketua Persekutuan Warganegara Orang Asli (Conaie), tampil hari kali pertama di mahkamah di Latacunga, semalam.

Beliau ditangkap pada hari kedua protes, dan ditahan 24 jam sebelum dibebaskan sementara menunggu perbicaraan bagi kesalahan menutup jalan secara haram.

 Pertuduhan bagi kesalahan melumpuhkan perkhidmatan awam boleh dikenakan hukuman penjara hingga tiga tahun.

Dianggarkan 14,000 rakyat Ecuador menyertai tunjuk perasaan itu – kebanyakannya di Quito – membantah kesukaran yang dihadapi dalam ekonomi terutama akibat pandemik koronavirus.

Protes itu dianjurkan Conaie, di mana persatuan itu amat berpengaruh dan pernah menyebabkan tiga presiden dijatuhkan antara 1997 dan 2005.

Khamis lalu, kerajaan dan pemimpin protes menandatangani perjanjian bagi menamatkan demonstrasi itu yang menyebabkan enam maut dan lebih 600 yang lain cedera.

Kerajaan bersetuju mengurangkan harga minyak yang sudah disubsidi kepada 8% - kurang berbanding 21% didesak penunjuk perasaan, tetapi ia cukup untuk meyakinkan mereka menghentikan protes di jalanan. – AFP, 5 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen