SEORANG lelaki bersenjata menembak mati sekurang-kurangnya enam orang awam di perarakan meraikan hari kemerdekaan Amerika Syarikat (AS) semalam di kawasan mewah Chicago.
Ia menjadi insiden terbaru tembakan rambang, dan ia menggemparkan kerana berlaku pada hari cuti umum yang diraikan rakyat AS.
Polis melancarkan operasi memburu penembak terbabit di Highland Park, sementara pihak berkuasa tergesa-gesa membatalkan sambutan 4 Julai di situ dan kawasan berhampiran, di bandar Evanston.
Di sepanjang laluan perarakan, kelihatan kerusi dan pelbagai barangan lain ditinggalkan dan bersepah selepas orang ramai panik dan melarikan diri.
“Semua orang ingat ia bunga api,” kata seorang saksi yang hanya mahu dikenali sebagai Zoe.
“Bapa saya fikir ia sebahagian daripada persembahan, tetapi saya kata, tidak. Macam ada yang tidak kena. Dan saya tarik dia, tiba-tiba orang ramai jatuh dan panik.”
Ketika mereka lari, katanya dia nampak seorang perempuan, agak dekat di belakangnya, ditembak dan mati.
Zoe berkata mereka pada mulanya bersembunyi di belakang tong sampah, sebelum anggota polis menarik mereka ke kedai barangan sukan bersama beberapa pengunjung yang lain, dengan ada antaranya cedera.
Polis berkata tembakan bermula kira-kira 10.14 pagi ketika perarakan itu berlangsung.
“Bunyinya seperti penonton menjadi sasarannya, ia terlalu rawak, penuh dengan niat membunuh dan sangat menyedihkan,” kata jurucakap petugas khas jenayah Lake County Christopher Covelli.
Berpuluh-puluh mangsa cedera dirawat di hospital dengan enam disahkan meninggal dunia.
Polis berkata lima daripadanya semua dewasa meninggal dunia di tempat kejadian, sementara mangsa keenam meninggal dunia di hospital. – AFP, 5 Julai, 2022.
Komen