KEPUTUSAN kerajaan untuk menaikkan harga siling ayam satu langkah baik yang dibuat demi kepentingan pembekal dan penjual, kata peniaga kecil dan pemilik kedai segar.
Mereka memberitahu The Malaysian Insight kenaikan itu membolehkan mereka mengaut keuntungan lebih tinggi sedikit berbanding sebelum ini.
Pemilik Sayang Fresh Mart, yang hanya mahu dikenali sebagai Fahdzil berkata, harga siling baharu itu akan memberinya keuntungan sedikit sebanyak RM0.40 setiap satu kilogram.
“Kali terakhir apabila harga ayam RM8.90 sekilogram, saya hanya mampu untung sekitar RM0.20 tetapi sekarang dengan kenaikan itu kami boleh dapat kira-kira RM0.40 sekilogram.
“Ia tidaklah banyak tetapi lebih baik berbanding sebelum ini,” kata pemilik yang mengendalikan kedai di Seremban, Negeri Sembilan.
Bermula 1 Julai, Putrajaya menetapkan harga siling runcit standard baharu ayam dihadkan pada RM9.40 sekilogram.
Ia peningkatan sebanyak RM0.50 daripada harga sebelumnya RM8.90 sekilogram.
Fahdzil berkata, sebagai peniaga kecil, mereka tidak boleh bersaing dengan pasar raya besar tetapi kelebihan mereka adalah terletak di kawasan perumahan.
“Kami tidak boleh bersaing dengan pasar raya kerana mereka boleh menjual ayam dengan harga yang lebih murah sedikit tetapi ia menyukarkan kami kerana harga yang kami dapat daripada pembekal juga tinggi.
“Tetapi apa yang membuatkan orang ramai datang ke tempat kami adalah keselesaan. Pasar segar terletak di lokasi strategik.

“Orang ramai akan mengunjungi pasar raya segar kerana kami berada di kawasan kejiranan. Mereka boleh mendapatkan sesuatu dengan cepat dan tidak perlu beratur atau membayar tempat letak kereta.
“Daripada menjimatkan beberapa sen dengan pergi ke pasar raya besar, mereka akan memilih untuk membeli di tempat berdekatan seperti pasar segar,” kata peniaga berusia 50 tahun itu, sambil menambah orang ramai juga lebih suka kedai kejiranan kerana barangan segar.
Seorang lagi peniaga, Hazwan Halim, yang mengusahakan Pasar Segar Pintu Rezeki di Nilai, Negeri Sembilan, turut bersetuju dengan pendapat Fahdzil dan berkata keselesaan adalah sebab utama orang ramai masih memilih kedai segar.
Hazwan berkata, peniaga boleh mendapat sedikit wang tambahan dengan menawarkan penghantaran ke kawasan kejiranan berhampiran, yang dimulakannya sejak perintah kawalan pergerakan susulan pandemik Covid-19.
“Kami mendapat ayam daripada pembekal pada harga RM8.90 atau RM9 dan kami menjualnya pada harga siling yang ditetapkan kerajaan.
“Kami tidak mengenakan bayaran tambahan untuk memotong ayam tetapi kami menawarkan penghantaran, yang mana kami mengenakan bayaran tambahan kira-kira RM2 atau RM3 bergantung kepada jarak.
“Ini satu-satunya perkhidmatan tambahan yang mampu kami tawarkan, supaya kami juga boleh menjana pendapatan tambahan,” katanya.
Tak untung jual ayam potong, ayam hidup
Hazwan bersetuju beliau boleh mengaut keuntungan lebih tinggi dengan menjual ayam potong, tetapi menambah turut boleh mengalami kerugian jika ayam potong tidak terjual.
“Ya, kami boleh mendapat wang tambahan tetapi saya tidak mengamalkannya kerana ia menyusahkan kedai seperti kami.
“Untuk mendapatkan potongan itu, kami perlu memotong beberapa ekor ayam dan kemudian memasukkannya ke dalam bekas ais berasingan. Jadi, ada kos lain untuk ais.

“Selain itu, jika ada potongan yang tidak terjual, kami tidak boleh menyimpannya atau mengitar semula sehingga ia dijual. Ia mesti segar. Jadi pada akhirnya, potongan yang tidak terjual hanya pergi ke tong sampah.
“Itulah sebabnya saya tidak berbuat demikian,” katanya.
Rashid, 44, yang mengusahakan Pasar Mini Alijisan di Kuala Lumpur berkata, peniaga boleh mengaut keuntungan lebih tinggi dengan menjual ayam hidup tetapi katanya proses itu agak membosankan dan memakan banyak ruang.
“Saya boleh mendapatkan ayam hidup dengan harga RM7.20 sekilogram tetapi saya perlu melakukan segala-galanya, bermakna membuang bulu, membersih dan memotongnya.
“Selain itu, kita perlu menyimpan ayam hidup dalam sangkar yang betul. Ia akan berak merata-rata dan kemudian akan ada bau dan penduduk berhampiran akan merungut.
“Jadi untung ada tetapi kerjanya banyak,” katanya.
Rashid berkata, beliau pernah menjual ayam hidup sebelum ini tetapi berhenti selepas penduduk mengadu kepada pihak berkuasa.
Katanya, pada masa ini beliau menjual ayam standard pada harga yang ditetapkan kerajaan.
Beliau berkata, permintaan terhadap ayam masih ada walaupun harga sekilogram meningkat.
“Pada hujung minggu, saya mengambil kira-kira 40 ekor ayam daripada pembekal dan hampir semuanya habis dijual dalam tempoh dua hari.
“Jadi kita tak boleh kata orang tak beli. Permintaan masih ada,” katanya. – 5 Julai, 2022.
Komen