Lebih 100 korban banjir di Bangladesh


Angka kematian akibat banjir di Bangladesh meningkat kepada 102 orang, apabila tujuh lagi mangsa terkorban dalam tempoh 24 jam lalu. – Gambar EPA, 4 Julai, 2022.

ANGKA kematian akibat banjir di Bangladesh meningkat kepada 102 orang, apabila tujuh lagi mangsa terkorban dalam tempoh 24 jam lalu, menurut pihak berkuasa semalam.

Menurut laporan harian bahagian kesihatan, daripada 28 daerah yang terjejas, 11 kematian dilaporkan antara 17 Mei hingga 3 Julai, lapor Agensi Anadolu.

Seramai 75 daripadanya terkorban akibat lemas, 15 disambar petir dan selebihnya dipatuk ular dan jangkitan penyakit bawaan air.

Selain banyak kawasan terpencil masih ditenggelami air, banjir turut menyebabkan rumah dan tanaman makanan rosak manakala sekurang-kurangnya 15 juta penduduk terjejas.

Menteri Perancangan MA Mannan berkata kerajaan mempunyai “pelan mega” untuk tindak balas bencana, dengan keutamaan untuk memulihkan penduduk yang terjejas banjir.

Sementara itu, Timbalan Pesuruhjaya Sylhet Md Mojibur Rahman yang merupakan antara wilayah yang paling teruk terjejas, memberitahu Agensi Anadolu wilayah itu menerima 50 juta taka (AS$537,634) untuk membina rumah yang rosak.

“Kami berharap dapat mengagihkan dana kepada keluarga yang terjejas sebelum Aidil Adha.”

Jumlah yang sama turut diperuntukkan untuk daerah Sunamganj, katanya, sambil menambah: “Kerajaan memperuntukkan dana untuk semua daerah lain yang terjejas.”

Mangsa berkata selain rumah yang musnah, mereka turut kehilangan harta benda dan ternakan lembu.

Di Bangladesh, hujan monsun yang melanda antara Julai dan September setiap tahun mengakibatkan kehilangan nyawa dan harta benda. – Bernama, 4 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen