
LEONG, seorang mekanik, masih ingat lagi bagaimana pada suatu masa dahulu kerajaan akan membayar dengan cepat caj bagi kenderaan yang masuk ke bengkelnya yang terletak di pinggir bandar raya Johor Bahru.
“Dulu zaman Dr Mahathir bayaran senang kutip, ekonomi baik, kerja senang,” katanya merujuk kepada era bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad.
“Sekarang, bayaran susah nak kutip,” kata ayah dua anak itu kepada The Malaysian Insight.
Rungutan Leong itu senada dengan apa yang disuarakan oleh sebahagian rakyat Johor dalam lingkungan umur 50-an lain, yang kini semakin merasai kesempitan wang berbanding setahun lalu.
Kejengkelan mereka terhadap kos sara hidup yang meningkat adalah isu paling utama di Johor, negeri kubu Barisan Nasional (BN) yang kini diasak hebat oleh Pakatan Harapan (PH).
PH Johor, diketuai bekas pemimpin kanan Umno, Muhyiddin Yassin – yang pernah juga jadi menteri besar negeri itu – berharap akan dapat meraih sokongan daripada rakyat Johor atas isu kos sara hidup, untuk mengambil alih pentadbiran negeri itu daripada BN.
Sebahagian warga Johor yang ditemui oleh The Malaysian Insight bagaimanapun berkata mereka tidak fikir isu itu akan menjejaskan sokongan rakyat kepada BN, biar betapa marah sekalipun terhadap isu nafkah hidup itu.
Kaji selidik oleh Merdeka Center menunjukkan 50% daripada 1,007 responden di Johor menyatakan paling terkesan dengan isu kos sara hidup.
Dalam kajian yang dijalankan pada Januari lalu, lebih kurang 64% pula berkata mereka tidak puas hati dengan cara kerajaan persekutuan menguruskan ekonomi negara.
Apa yang mereka rasai dari segi kewangan itu mempengaruhi sikap mereka tentang hala tuju negara. Sejumlah 57% yang mengambil bahagian dalam kaji selidik itu mengatakan mereka percaya negara ini tidak berada di landasan yang betul.
“Sentimen negatif pengundi di Johor ini tampaknya mencerminkan mood di peringkat nasional dalam soal tekanan ekonomi serta urus tadbir kerajaan,” kata Merdeka Center.
PH berharap kemarahan rakyat itu akan diterjemahkan kepada undi menolak BN yang selama ini jadi parti pilihan bagi rakyat Johor sejak bertahun-tahun.
Pada pilihan raya umum yang lalu, BN menyapu 21 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor. Pada pilihan raya umum 2008, ia hanya kalah satu kerusi Parlimen.
Di peringkat negeri, BN mengekalkan penguasaan dua pertiga di dewan undangan negeri apabila menang 38 daripada 56 kerusi. Bagaimanapun pada pilihan raya umum yang sama lima tahun lalu, DAP, PKR dan PAS berjaya menembusi negeri kubu kuat BN itu.
DAP menang 13 kerusi DUN, PAS 4 dan PKR satu kerusi.
Pemandu teksi, Alias Mohd Jamil, 56, adalah antara penyokong BN yang mungkin sudah berubah hati menjelang hari Malaysia memilih kerana kesan ekonomi yang menekan yang dirasakannya sekarang.
“Terus terang cakap, selama saya mengundi saya tidak pernah undi parti lain selain BN. Apabila keadaan tersepit seperti ini saya akan fikir sama ada perlu atau tidak undi pembangkang.
“Siapa sahaja jadi kerajaan saya tidak kisah, asalkan jangan menyusahkan rakyat seperti hari ini,” katanya, yang tidak menjadi ahli mana-mana parti politik.
Pada November lepas, Johor mencatatkan indeks harga pengguna 4.7%, lebih tinggi daripada purata nasional 3.4% pada bulan itu. Kadar inflasi di Johor juga adalah yang tertinggi di Malaysia, mengatasi malah Kuala Lumpur dan Selangor.
Walaupun rakyat meletakkan punca kos sara hidup tinggi itu pada pelaksanaan cukai barangan dan pengguna (GST), mereka juga berkata kedudukan Johor yang dekat dengan Singapura juga menjadi punca mengapa harga barang mahal.
Ini kerana rakyat Singapura dan Malaysia yang tinggal dan berkerja di republik itu akan menyeberang ke Johor untuk membeli barangan dapur yang lebih murah kerana nilai tukaran mata wang Ringgit Malaysia dan Dolar Singapura.
Tetapi bagi pesara tentera Mohd Hashim Mohd Yusuf, 54, walaupun kos sara hidup dirasakan amat “parah”, beliau tidak yakin PH boleh menjadikan keadaan lebih baik.
Hashim kini melakukan dua kerja, jadi pengawal keselamatan dan memandu Grab untuk menyara keluarga seramai lima orang.
Pesara tentera itu juga ada alasan lain kenapa beliau tidak yakin dengan PH untuk mengambil alih pimpinan kerajaan.
“Siapa pun nak perintah, mestilah orang Melayu,” katanya, dan menambah pembangkang sama sekali tidak harus diberi peluang membentuk kerajaan di Johor. – 21 Februari, 2018.

Komen
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Hana ghaoul · Ulasan
Dimuat naik 8 tahun yang lalu oleh Tanahair Ku · Ulasan