PERKHIDMATAN kecemasan Australia mengarahkan ribuan penduduk di Sydney meninggalkan kediaman masing-masing hari ini susulan air sungai melimpah selepas hujan lebat.
Pada hari ketiga hujan berterusan di pantai timur, pasukan keselamatan menyelamatkan 20 mangsa dalam tempoh 12 jam, dengan kebanyakannya terperangkap di dalam kereta selepas jalan raya dinaiki air di New South Wales.
Australia kerap dilanda cuaca tidak menentu kesan perubahan iklim, dengan kemarau, kebakaran hutan, hakisan di Great Barrier Reef dan banjir, mulai menjadi perkara biasa akibat corak cuaca yang berubah.
Suhu lebih tinggi bermakna atmosfera memegang lebih banyak lembapan, menyebabkan julat hujan yang tinggi.
Kira-kira 32,000 penduduk dikenakan arahan mengosongkan rumah atau menerima amaran di New South Wales, kata pegawai kanan perkhidmatan kecemasan negeri Ashley Sullivan.
“Kita melihat air sungai naik dengan pantas daripada dijangkakan,” katanya.
Air di beberapa kawasan mencapai paras paling bahaya pernah berlaku di Australia sejak dua tahun lalu, katanya.
Lebih 20 mangsa maut pada Mac lalu akibat paras air banjir hingga ke bumbung rumah dan hujan lebat menyebabkan arus deras dan menolak kereta di jalan raya.
Pada pagi ini, air sungai yang berlumpur memenuhi kawasan tanah rata hingga ia menjadi seperti tasik di kawasan pinggir bandar Camden.
Jalan raya ditenggelami air dan air naik ke paras lutut di kebanyakan kawasan perumahan.
Sejumlah air terpaksa dilepaskan dari empangan Warragamba sejak Ahad. – AFP, 4 Julai, 2022.
Komen