Pekerja pelabuhan Jordan mogok kes gas klorin bocor


Sebuah tangki gas klorin terjatuh ketika ia diangkat dengan kren ke atas sebuah kapal di pelabuhan Laut Merah Jordan di Aqaba Isnin lalu dan melepaskan bahan toksik itu. – Gambar EPA, 4 Julai, 2022.

RATUSAN pekerja pelabuhan melancarkan mogok di Jordan semalam, dan pada masa sama perdana menteri mengumumkan pemecatan beberapa pegawai yang didakwa cuai berhubung insiden kebocoran gas yang meragut nyawa.

Sebuah tangki gas klorin terjatuh ketika ia diangkat dengan kren ke atas sebuah kapal di pelabuhan Laut Merah Jordan di Aqaba Isnin lalu dan melepaskan bahan toksik itu.

Menurut angka rasmi terkini, sekurang-kurangnya 13 mangsa termasuk lima warga Vietnam, maut manakala lebih 260 lagi cedera.

“Pekerja pelabuhan membuat bantahan terhadap langkah keselamatan yang lemah menyebabkan kematian dan kecederaan beberapa rakan sekerja mereka,” kata wakil kesatuan sekerja, Ahmed Amayreh.

Katanya, kira-kira 95% daripada 2,300 pekerja pelabuhan Aqaba menyertai mogok itu.

Perdana Menteri Bisher al-Khasawneh semalam berkata siasatan menunjukkan langkah keselamatan yang lemah dan kecuaian dalam langkah keselamatan menangani bahan berbahaya di pelabuhan Aqaba.

Bisher pada mesyuarat Kabinet berkata pengarah dan beberapa pegawai pengendali pelabuhan negeri serta ketua pihak berkuasa maritim turut dipecat.

Menteri Dalam Negeri Mazen al-Faraya yang mengetuai siasatan berkata berat tangki gas itu jauh melebihi keupayaan beban maksimum kabel kren yang mengangkatnya.

“Berat tangki itu kira-kira 28.9 tan, lebih tiga kali ganda daripada kapasiti kabel kren 8.6 tan dan menyebabkan ia putus,” kata Faraya pada sidang akhbar.

Katanya, 18 tangki gas klorin sepatutnya dimuatkan ke dalam kapal itu.

“Semasa memuatkan tangki kelima, kabel putus dan kontena jatuh, menyebabkan kebocoran gas,” katanya.

Aqaba satu-satunya pintu masuk maritim Jordan dan transit bagi bahagian terbesar import dan eksportnya. – AFP, 4 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen