6 maut, glasier runtuh di pergunungan Alps


Enam maut manakala lapan lagi cedera dalam insiden runtuhan glasier terbesar berlaku di Pergunungan Alps, Itali, semalam. – Gambar AFP, 4 Julai, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA enam terkorban manakala lapan lagi cedera dalam insiden runtuhan glasier terbesar berlaku di Pergunungan Alps, Itali, semalam.

Glasier runtuh di gunung Marmolada, yang tertinggi di Gunung Dolomites di negara itu, berhampiran Punta Rocca, laluan yang biasanya diambil pendaki untuk sampai ke puncaknya.

Bencana berlaku sehari selepas suhu tertinggi 10 darjah Celsius direkodkan di puncak glasier.

“Salji, ais dan batu menimpa laluan masuk pada ketika terdapat beberapa pendaki dan sebahagian daripada mereka dihanyutkan bersama,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan Michela Canova.

Jurucakap perkhidmatan kecemasan berkata enam disahkan maut dan lapan cedera.

Pencarian mangsa yang terselamat dihentikan lewat semalam, dan akan disambung pada awal hari ini.

Sementara itu, profesor sains di Universiti Roma Tre Massimo Frezzotti berkata keruntuhan itu disebabkan cuaca panas luar biasa dikaitkan dengan pemanasan global, di mana kepanasan turun 40 hingga 50% ketika musim sejuk yang kering.

“Keadaan semasa glasier adalah sepadan dengan pertengahan Ogos, bukannya pada awal Julai,” katanya.

Dua daripada yang cedera dibawa ke hospital di Belluno, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan serius dibawa ke Treviso, manakala lima yang lain ke Trento.

“Jumlah keseluruhan pendaki terbabit masih belum diketahui,” kata Canova.

Beliau tidak menyatakan kewarganegaraan mangsa, tetapi media Itali melaporkan antara yang terbabit adalah warga asing.

Helikopter juga didilihat membantu dalam operasi menyelamat awal dan memantau keadaan dari udara.

Pasukan penyelamat di wilayah Veneto berhampiran timur laut Itali berkata, mereka mengerahkan semua pasukan Alpine mereka, termasuk anjing pengesan. – AFP, 4 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen