RATUSAN penunjuk perasaan berarak di Akron, Ohio pada Ahad selepas rakaman video memaparkan anggota polis lelaki kulit hitam ditembak dengan berpuluh das tembakan didedahkan.
Penunjuk perasaan berarak beramai-ramai ke Dewan Bandaraya sambil membawa sepanduk tertulis “keadilan untuk Jayland”.
Mereka menyuarakan desakan itu bagi menuntut keadilan atas kematian Jayland Walker, 25, yang ditembak anggota polis yang cuba menahannya atas kesalahan lalu lintas pada Isnin lalu.
Kejadian dipaparkan melalui video rakaman badan polis. Pihak berkuasa Akron pada Ahad mendedahkan dua rakaman video mengenai kejadian.
Polis berkata Walker tidak berhenti selepas diarahkan berbuat demikian. Polis seterusnya mengejar dan satu das tembakan dilepaskan dari kereta Walker.
Selepas beberapa minit, Walker keluar dari keretanya yang masih bergerak dan melarikan diri. Polis kemudian cuba menghentikan Walker menggunakan pistol perenjat elektrik tetapi tidak berjaya.
Beberapa anggota polis mengejar Walker sehingga ke sebuah tempat letak kereta. Rakaman video kamera badan polis tidak beberapa jelas namun pihak berkuasa berkata tembakan terpaksa dilepaskan selepas polis berasa terancam.
Kesemua anggota polis di tempat kejadian ketika itu menembak Walker beberapa kali. Beliau disahkan meninggal dunia serta-merta.
Ketua Polis Akron Steve Mylett pada sidang media berkata beliau tidak dapat mengesahkan jumlah tepat peluru yang dilepaskan ke arah Walker, tetapi mengikut laporan perubatan sebanyak 60 kesan tembakan ditemui pada badan mangsa.
Mylett juga berkata lapan anggota polis yang terbabit telah diarahkan bercuti sementara siasatan dijalankan. – AFP,4 Julai, 2022.
Komen