Laluan sukar Jugah masuk semula PRS, kata ketua pemuda


Desmond Davidson

Permohonan Jugah Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang untuk menyertai semula PRS mencetus rasa curiga dalam kalangan ahli, kata ketua pemuda parti itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Julai, 2022.

PARTI Rakyat Sarawak (PRS) masih belum memutuskan untuk menerima semula Ahli Parlimen Lubok Antu Jugah Muyang, kata ketua pemuda parti itu Snowdan Lawan.

Jugah keluar PRS dan bertanding sebagai calon Bebas di Lubok Antu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) sebelum menyertai PKR. Beliau kemudian berpaling tadah pada Jun 2020 apabila kerajaan Pakatan Harapan tumbang ekoran percaturan politik.

Kini, permohonan Jugah untuk menyertai semula PRS mencetus rasa curiga dalam kalangan ahli parti, Lawan memberitahu The Malaysian Insight.

“Mereka tertanya-tanya, mana kesetiaan beliau? Pada saya kita mesti tunjukkan kesetiaan.

“Itu peraturan nombor satu dalam politik, perlu ada integriti. Tidak kira sehebat mana pun anda, tak ada gunanya kalau tak setia kepada parti.

“Apabila ada ahli melompat ke parti lain, keharmonian dan perpaduan dalam parti akan terganggu sebab dia akan bawa sekali penyokong.

“Jadi perkara ini masih belum diputuskan. Lagi pun, sebelum ini Jugah sudah diberi peluang tetapi mengkhianati kami,” kata timbalan menteri pelancongan, industri kreatif dan seni persembahan Sarawak itu.

Pada PRU14 Jugah menang di Lubok Antu menerusi pertandingan tiga penjuru dengan 5, 834 undi, menewaskan calon PRS Robert Alam Pasang (4,775 undi) dan calon PKR Nicholas Bawin Anggat (3,942).

Tidak lama selepas itu Jugah menyertai PKR tetapi kemudian berpaling tadah daripada PKR pada 5 Jun 2020 dan menukar sokongan kepada Perikatan Nasional dan Gabungan Parti Sarawak sebagai ahli Parlimen bebas.

Menurut Lawan, Jugah memohon untuk menyertai semula PRS pada Februari.

Permohonan dihantar terus ke ibu pejabat PRS, tidak melalui cawangan mengikut prosedur biasa.

Bagaimanapun, Majlis Tertinggi PRS pada Mac memutuskan permohonan Jugah perlu mengikut proses biasa dan perlu dikemukakan sama ada ke cawangan Batang Ai atau Engkilili yang di bawah kawasan parlimen Lubok Antu.

Seorang sumber dalam parti memberitahu The Malaysian Insight, cawangan boleh mengesyor sama ada permohonan Jugah ditolak mentah-mentah atau diterima berserta syarat tertentu.

Jika diterima sekalipun, tiada jaminan Jugah akan dapat bertanding untuk mempertahankan kerusi Lubok Antu pada pilihan raya umum akan datang, kata sumber.

Mac lalu, PRS Cawangan Engkilili mengemukakan resolusi menyokong Roy Gingkoi sebagai calon kerusi Lubok Antu pada PR15, sekali gus menolak permohonan Jugah untuk menyertai semula parti.

Kata Lawan, PRS ada ramai calon berpotensi bagi kerusi Lubok Antu.

“Ada ramai lagi selain Jugah,” katanya. – 4 Julai, 2022.    


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen