DUA wanita terbunuh selepas diserang jerung di sebuah bandar peranginan di pantai Laut Merah Mesir, kata Kementerian Alam Sekitar, hari ini.
Ia selepas video yang dikatakan serangan haiwan pemangsa itu tular.
“Dua wanita diserang jerung ketika berenang” di kawasan Sahl Hasheesh di selatan Hurghada, kata Kementerian Alam Sekitar Mesir di Facebook, sambil menambah mereka mangsa tersebut meninggal dunia.
Kenyataan itu tidak memberikan sebarang butiran mengenai identiti mangsa.
Namun, Gabenor Laut Merah Amr Hanafi mengarahkan penutupan semua pantai di kawasan itu selama tiga hari selepas “seorang pelancong Austria tercabut tangan kirinya, seolah-olah dalam serangan jerung”.
Pengguna media sosial pada Jumaat berkongsi video – kesahihan, tarikh dan lokasi tidak dapat disahkan oleh AFP – menunjukkan seorang perenang bergelut sebelum apa yang dilihat seperti kumpulan darah muncul di sekelilingnya.
Menurut Kementerian Alam Sekitar, pasukan petugas sedang berusaha untuk “mengenal pasti punca saintifik dan keadaan serangan” dan menentukan “sebab di sebalik tingkah laku jerung yang mengakibatkan kejadian itu”.
Laut Merah ialah destinasi pelancongan popular, jerung adalah perkara biasa tetapi jarang menyerang orang yang berenang dalam had yang dibenarkan.
Pada 2018, seorang pelancong Czech terbunuh disebabkan jerung di pantai Laut Merah. Serangan serupa mengorbankan seorang pelancong Jerman pada 2015.
Pada 2010, lima serangan berturut-turut dalam tempoh lima hari berdekatan pantai tempat tumpuan pelancong Sharm el-Sheikh meragut nyawa seorang warga Jerman dan mencederakan empat lagi pelancong asing.
Mesir kini sedang bergelut untuk mengatasi kenaikan inflasi dan kejatuhan nilai mata wang baru-baru ini.
Negara itu sangat bergantung kepada pendapatan pelancongan dari Laut Merah, yang menyumbang kira-kira 65% pelancong melawat negara itu.
Industri pelancongan menerima kesan besar sepanjang dekad yang lalu, termasuk pemberontakan negara pada 2011 yang mengakibatkan kekacauan dan wabak Covid-19. – AFP, 3 Julai, 2022.
Komen