BEKAS peguam negara Tommy Thomas melahirkan rasa tidak percayanya terhadap populariti dan sokongan yang diterima bekas Perdana Menteri Najib Razak baru-baru ini.
Di sebalik pertuduhan jenayah yang dilemparkan terhadap ahli Parlimen Pekan itu, Thomas berkata beliau hairan orang ramai masih memuja Najib dan mahu beliau kembali sebagai perdana menteri.
“Itu (populariti yang Najib perolehi baru-baru ini) adalah sesuatu yang sukar saya fahami.
“Adakah ini (Najib) jenis wira yang anda mahukan?” Thomas bertanya hari ini semasa pelancaran buku bertajuk “My Story: Justice in the Wildernesses” versi bahasa Cina.
Dengan bukti sedia ada dan juga baharu muncul daripada perbicaraan mahkamah di Malaysia dan juga di Amerika Syarikat yang dikaitkan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan syarikat subsidiari, Thomas berkata Najib sepatutnya menjadi seorang tokoh yang tidak popular.
Beliau juga berkata skandal 1MDB Najib juga menjadi punca Barisan Nasional (BN) goyah dalam pilihan raya lalu selepas 60 tahun memerintah.
“Tiada keraguan. Sesiapa sahaja yang menulis mengenai kejatuhan baru-baru ini, kekalahan pertama BN sejak merdeka akan mengaitkannya dengan ketidakpopularan Najib kerana 1MDB.
“Itu adalah satu faktor. Namun, selepas BN dikalahkan, beliau menjadi pembangkang dan kemudian bukti kesalahan semakin banyak baik di SRC International (perbicaraan), perbicaraan 1MDB-TANORE, dan perbicaraan Roger NG di AS.
“Jumlah bukti yang ditemui sejak PRU14 adalah amat memberatkan kerana jejak wang itu ada.
“Jadi, jawapan yang logik adalah, terhadap bukti yang sangat baharu, yang dibina berdasarkan bukti terkumpul, beliau sepatutnya menjadi lebih tidak popular.
“Namun terdapat berjuta rakyat Malaysia yang memuja atau kelihatan memujanya empat tahun kemudian. Itu adalah sesuatu yang saya tidak faham…. Anda mesti bertanya kepada ahli psikologi, pakar psikiatri, ahli sosiologi. Saya bingung,” katanya.
Dengan populariti Najib yang semakin meningkat walaupun selepas skandal terhadapnya, Thomas bertanya sama ada orang ramai tidak dapat mengenali nilai hari ini.
“Bagi saya ia adalah cerminan nilai-nilai rakyat Malaysia. Maksud saya anda tidak dapat mengenali nilai?” tanya Thomas. – 3 Julai, 2022.
Komen