Russia tuduh Kiev lancar peluru berpandu ke Belgorod


Sebanyak 11 bangunan kediaman dan 39 rumah rosak dalam letupan yang berlaku pada awal pagi tadi. Ia mungkin sebagai tindak balas pencerobohan tentera Russia terhadap Ukraine sejak 24 Februari lalu. – Gambar EPA, 3 Julai, 2022.

RUSSIA menuduh Kiev melepaskan tiga peluru berpandu ke bandar Belgorod berhampiran sempadan Ukraine dalam serangan yang mengorbankan sekurang-kurangnya empat nyawa.

“Pesawat pertahanan Russia menembak jatuh tiga peluru berpandu kluster Tochka-U yang dilancarkan nasionalis Ukraine terhadap Belgorod,” kata jurucakap kementerian pertahanan Russia, Igor Konashenkov.

“Selepas peluru berpandu Ukraine dimusnahkan, salah satu daripada serpihannya jatuh ke atas sebuah rumah”.

Konashenkov berkata tentera Russia juga menembak jatuh dua dron milik Ukraine, TU-143 yang “sarat dengan bahan letupan” menuju ke arah bandar Kursk, juga berhampiran sempadan Ukraine.

Terdahulu, gabenor Belgorod, Vyachelsav Gladkov, berkata sekurang-kurangnya empat nyawa terbunuh dan empat cedera dalam satu siri “letupan kuat” yang menggegarkan bandar itu pada awal pagi tadi.

Sebanyak 11 bangunan kediaman dan 39 rumah rosak dalam letupan yang berlaku pada awal pagi itu, katanya di Telegram.

Gladkov berkata beliau melawat tapak sejurus selepas letupan, yang melanda lima jalan di utara pusat bandar.

Dua daripada yang cedera – seorang lelaki dan seorang kanak-kanak – dimasukkan ke hospital, manakala dua lagi dirawat di tempat kejadian, katanya.

Sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine pada 24 Februari, Russia berulang kali menuduh Kiev melakukan serangan di negara itu, khususnya di wilayah Belgorod.

Pada awal April, Gladkov menuduh Ukraine menyerang depoh bahan api di bandar itu menggunakan dua helikopter. – AFP, 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen