4 maut dalam 'letupan kuat' gegar Belgorod di Russia, kata gabenor


Sebanyak 11 bangunan kediaman dan 39 rumah rosak dalam letupan yang berlaku pada awal pagi tadi, kata Gabenor Belgorod Vyacheslav Gladkov. – Gambar EPA, 3 Julai, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA empat penduduk terbunuh dan empat cedera dalam siri “letupan kuat” yang menggegarkan bandar Belgorod, menurut gabenor wilayah itu, awal hari ini.

Wilayah itu terletak bersempadan dengan Ukraine.

“Kami sedang berusaha untuk menentukan keadaan kejadian. Pertahanan anti-pesawat sedang beroperasi,” kata gabenor Belgorod Vyacheslav Gladkov di Telegram.

Sebanyak 11 bangunan kediaman dan 39 rumah rosak dalam letupan yang berlaku pada awal pagi tadi, katanya, tetapi tidak menuduh tentera Ukraine sebagai dalang serangan itu.

Gladkov berkata beliau melawat tapak itu sejurus selepas letupan yang melanda lima jalan di utara pusat bandar.

Dua daripada mangsa yang cedera – seorang lelaki dan seorang kanak-kanak – dimasukkan ke hospital, manakala dua lagi dirawat di tempat kejadian, katanya.

Sejak Moscow melancarkan operasi ketenteraannya di Ukraine pada 24 Februari, Russia berulang kali menuduh Kiev melakukan serangan di bumi Russia, khususnya di wilayah Belgorod.

Pada awal April, Gladkov menuduh Ukraine menyerang depoh bahan api di bandar itu dengan menggunkan dua helikopter. – AFP, 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen