PERDANA Menteri Ismail Sabri Yaakob memberi bayangan kerajaan akan meningkatkan pemberian subsidi kepada rakyat sekiranya kenaikan harga barangan terus menekan mereka.
Ahli Parlimen Bera itu berkata, kerajaan pimpinannya hari ini menyalurkan bantuan kewangan berjumlah kira-kira RM2,600 setahun khusus kepada rakyat berpendapatan rendah atau mereka di dalam kelompok B40 melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM).
“Siapa nak bagi, kerajaan dulu tak pernah bagi lebih daripada RM2,000, kita beri RM2,600.
“Kalau harga barang naik lagi kita ada fasa ketiga dan keempat, ada lagi, mungkin kita akan tambah lagi (subsidi) untuk kepentingan rakyat, ini yang dilakukan kerajaan,” kata Ismail Sabri, ketika berucap di majlis kenduri rakyat Parlimen Pasir Salak, Perak, hari ini.
Program itu dianjurkan bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat negeri Perak.
Naib presiden Umno itu menegaskan kerajaan memutuskan untuk menyalurkan subsidi tambaham RM100 kepada kelompok tersebut berikut kenaikan beberapa barangan makanan keperluan asas.
“Kalau bagi subsidi ayam yang untung bukan rakyat Malaysia sahaja, bukan rakyat Malaysia sahaja, pekerja asing warga asing Bangladesh pun dapat padahal mereka bukan rakyat Malaysia, kita tak boleh kawal di pasar.
“Untuk elak ketirisan macam ini kita beri rakyat bantuan duit terus melalui BKM, dulu RM400 tambah RM100 jadi RM500, pembangkang kata kita beri RM100 sahaja, siapa (lagi sanggup) beri RM400 (yang) kita dapat sekarang, kerajaan bagi untuk kurangkan tekanan kepada rakyat.
“Kita tak nak warga asing dapat faedah daripada subsidi kita beri kepada rakyat, kita tak hapuskan subsidi terus nak pastikan harga tak naik mendadak,” kata Ismail Sabri.
Jelasnya, kerajaan sebelum ini memperuntukkan subsidi berjumlah RM1.20 bagi setiap kilogram ayam di pasaran.
“Tapi dia (pembangkang) dok heboh kata kerajaan beri RM100 sahaja, tak betul…pembangkang memang sifat berbohong cakap macam tiada Tuhan.
“(Mereka) seolah-olah hidup tak mati-mati, jadi jangan percaya tohmahan daripada pembangkang,” kata Ismail Sabri lagi.
Turut hadir di majlis tersebut adalah Menteri Besar Perak Saarani Moahamad, Ketua Setiausaha Negara Mohd Zuki Ali dan Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman.
Bermula 1 Julai, kerajaan menarik semula subsidi barangan makanan iaitu telur ayam dan minyak masak sawit tulen botol 2kg hingga 5 kg.
Kerajaan juga memutuskan harga ayam di pasaran tidak akan diapungkan dan mengenakan harga siling.
Pada Jumaat, parti Amanah turut menganjurkan demonstrasi di Masjid Jamek Kg Baru di ibu negara menuntut subsidi dikembalikan. – 3 Julai, 2022.
Komen