Ahli Parlimen Hong Kong positif Covid-19 selepas bergambar dengan Xi Jinping


Presiden China Xi Jinping hadir pada Majlis Perasmian Kerajaan Penggal Keenam Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong di Pusat Konvensyen dan Pameran Hong Kong, China. – Gambar EPA, 3 Julai, 2022.

SEORANG ahli Parlimen Hong Kong yang bergambar berkumpulan dengan Presiden China Xi Jinping semasa lawatan pemimpin itu ke hab kewangan minggu ini disahkan positif Covid-19.

Xi melawat Hong Kong di bawah langkah keselamatan yang ketat untuk meraikan ulang tahun ke-25 penyerahan bandar itu daripada Britain.

Ini adalah lawatan pertamanya ke luar tanah besar China sejak wabak itu.

Steven Ho, 42 tahun ahli parti pro-Beijing terbesar Hong Kong adalah salah seorang daripada kira-kira 100 pegawai yang mempunyai kontak rapat dengan Xi untuk sesi bergambar pada petang Khamis.

Ho berdiri dua baris tepat di belakang Xi, menurut gambar yang dikeluarkan kerajaan.

Ahli Parlimen itu disahkan negatif pada hari pertama lawatan Xi dan melakukan semula ujian pada Jumaat, katanya.

Beliau tidak mengambil bahagian dalam sebarang acara pada hari Jumaat selepas keputusan ujian yang diperoleh, katanya dalam satu kenyataan di media sosial.

Sampel pada 1 Julai mempunyai infektiviti yang sangat rendah dan ia dikategorikan sebagai ‘tidak pasti’, tetapi demi keselamatan awam, saya tidak menyertai acara pada hari itu,” tulis Ho.

Ho adalah individu kedua parti DAB yang disahkan positif Covid-19 sekitar lawatan Xi.

Tam Yiu-chung, wakil tunggal Hong Kong kepada badan penggubal undang-undang tertinggi Beijing, diuji positif pada Khamis dan tidak hadir dalam semua acara.

China adalah satu-satunya negara yang masih meneruskan pendekatan sifar-Covid bagi membendung wabak, dengan melaksanakan sekatan pergerakan segera dan ujian besar-besaran.

Xi tidak meninggalkan China dalam tempoh hampir 900 hari dan sempadan negara yang luas itu sebahagian besarnya dimeterai kepada kebanyakan orang luar. – AFP, 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen