Terus sokong Ismail Sabri sebagai PM, kata Tajuddin


Mohd Farhan Darwis

Ahli Parlimen Pasir Salak Tajuddin Abdul Rahman berkata secara peribadi beliau sendiri akan terus menyokong Ismail Sabri Yaakob sebagai perdana menteri. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Julai, 2022

ISMAIL Sabri Yaakob mesti terus disokong sebagai perdana menteri kerana tidak membuat sebarang salah sepanjang hampir setahun memegang jawatan itu, kata bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Tajuddin Abdul Rahman yang digugurkan jawatan parti baru-baru ini.

MKT Umno sebelum ini menamakan Ismail Sabri sebagai calon perdana menteri bagi Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang perlu diadakan dalam masa setahun dari sekarang.

“Dalam masa setahun ini apa ada kesalahan perdana menteri? Apa ada kesilapan? Tidak ada.

“Kenapa macam-macam tuduhan dibuat seolah-olah dia tak layak jadi perdana menteri. Kita nak perdana menteri terus jadi perdana menteri terus sampai lepas pilihan raya,” kata Tajuddin berucap pada majlis kenduri rakyat di Pasir Salak, hari ini.

Majlis itu diadakan sempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia peringkat Perak.

Tajuddin yang juga Ahli Parlimen Pasir Salak berkata secara peribadi beliau sendiri akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri.

“Saya tetap setia dan sokong perdana menteri, biar orang kata apa pun pada dia, ada yang kata dia lembiklah, apalah… dia tunjuk nanti baru tahu, lembik ke keras ke,” katanya.

MKT Umno sebelum ini menamakan Ismail Sabri Yaakob sebagai calon perdana menteri bagi Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang perlu diadakan dalam masa setahun dari sekarang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 3 Julai, 2022.

Tajuddin juga berkata Ismail Sabri sudah melaksanakan pelbagai perkara untuk kebajikan rakyat sejak dilantik sebagai perdana menteri.

“Kita tahu dalam tempoh tak sampai setahun jadi perdana menteri macam-macam dia buat, tangani Covid-19 itu kesihatan dijaga, kalau tidak ramai dah ‘go’ (meninggal dunia). Mereka tak hargai semua. Harga barang dibantu supaya jangan bebankan rakyat sangat.

“Selaku wakil rakyat, ketua bahagian (Umno), selagi saya ketua bahagian atau tidak, saya beri jaminan Pasir Salak akan beri sokongan padu kepada perdana menteri. Jangan main-main dengan saya,” kata Tajuddin lagi.

Timbalan Ketua Umno Johor Nur Jazlan Mohamed baru-baru ini menyelar Ismail Sabri yang disifatkannya “paling lemah” dalam sejarah. Beliau berpendapat Ismail Sabri tidak tegas kerana kononnya menjadi “tebusan politik” pihak tertentu.

Beberapa pemimpin Umno termasuk pimpinan kanan serta menteri kabinet mempertahankan Ismail Sabri dan menyifatkan Nur Jazlan sebagai biadab. Mereka berkata kritikannya tidak wajar dan melampau ketika Umno sedang mengumpulkan kekuatan menuju PRU15.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan berkata dasar BN jelas menyokong Ismail Sabri sebagai perdana menteri untuk PRU15.

Katanya, cakap-cakap segelintir individu yang bertentangan dengan dasar itu tidak sepatutnya dijadikan sebagai pandangan parti Umno mahupun BN.

Ismail Sabri akan genap setahun jadi perdana menteri hujung bulan depan. – 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen