Universiti di Belanda mangsa serangan siber dapat balik wang berserta faedah


Universiti Maastricht, Belanda menjadi mangsa serangan siber pada 2019 apabila penggodam menggunakan perisian untuk mengunci data yang hanya boleh diakses apabila mangsa membayar wang tebusan. – Gambar AFP, 3 Julai, 2022.

SEBUAH universiti di Belanda yang menjadi mangsa serangan siber menerima balik sebahagian daripada wang yang dicuri, yang kini bernilai lebih dua kali ganda, lapor media semalam.

Universiti Maastricht yang terletak di selatan negara itu menjadi mangsa serangan siber besar-besaran pada 2019 apabila penggodam menggunakan perisian untuk mengunci data yang hanya boleh diakses apabila mangsa membayar wang tebusan.

“Penjenayah telah menyulitkan ratusan pelayan Windows dan sistem sandaran, menghalang 25,000 pelajar dan pekerja daripada mengakses data saintifik, perpustakaan dan emel,” lapor akhbar harian De Volkskrant.

Penggodam menuntut bayaran 200,000 euro dalam bentuk bitcoin bagi mendapatkan semula akses tersebut.

“Selepas seminggu universiti memutuskan untuk memenuhi permintaan kumpulan penjenayah itu,” lapor akhbar itu lagi.

“Ini adalah kerana data peribadi dalam situasi bahaya dan pelajar tidak boleh mengambil peperiksaan atau menyiapkan tesis mereka,” katanya.

Polis Belanda kemudiannya berjaya mengesan sebahagian wang tebusan itu yang dimasukkan ke dalam akaun penggubah wang haram berpengkalan di Ukraine.

Pendakwaraya pada 2020 menyita akaun itu yang mengandungi pelbagai mata wang digital termasuk sebahagian wang tebusan yang dibayar universiti.

“Kini, selepas lebih dua tahun, dan duit itu boleh dibawa semula ke Belanda, nilainya telah meningkat daripada 40,000 euro kepada setengah juta euro,” lapor akhbar.

Universiti Maastricht kini bakal menerima 500,000 euro.

“Duit ini tidak akan dimasukkan ke dalam dana umu, tetapi ke dana bagi membantu pelajar yang berdepan masalah kewangan,” kata Pengarah ICT Universiti Maastricht Michiel Borgers.

Siasatan terhadap penggodam yang terlibat dalam serangan siber itu masih dijalankan, tambah De Volkskrant.  – AFP, 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen