Palestin serah peluru bunuh wartawan Al Jazeera kepada AS


Wartawan Shireen Abu Akleh dibunuh pada 11 Mei ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kem Jenin di utara Tebing Barat. – Gambar AFP, 3 Julai, 2022.

PIHAK Berkuasa Palestin menyerahkan peluru yang membunuh wartawan Al Jazeera Shireen Abu Akleh kepada pakar forensik Amerika Syarikat (AS) pada Sabtu untuk membantu siasatan yang akan membuktikan secara muktamad mangsa ditembak oleh seorang askar Israel.

Pihak Berkuasa Palestin memberi jaminan tiada pengubahsuaian dibuat pada peluru yang membunuh Abu Akleh semasa serbuan Israel di Tebing Barat yang diduduki, dan ia akan dikembalikan sebaik sahaja penilaian selesai, Peguam Negara Palestin Akram Al-Khatib memberitahu AFP.

Pihak Berkuasa Palestin memberi lampu hijau untuk menyerahkan peluru itu kepada AS, tetapi tidak kepada Israel, lapor agensi berita rasmi Palestin, Wafa.

Wartawan Palestin-Amerika itu, yang memakai vest bertulis “Press” dan helmet, dibunuh pada 11 Mei ketika membuat liputan operasi tentera Israel di kem Jenin di utara Tebing Barat.

Siasatan rasmi Palestin mendapati wartawan saluran televisyen yang berpangkalan di Qatar itu terbunuh selepas terkena peluru tepat di bawah topi dipakainya.

Ia mendapati Abu Akleh dibunuh dengan peluru penebuk perisai 5.56 milimeter yang dilepaskan daripada senapang Ruger Mini-14.

Setiausaha Negara AS Antony Blinken berjanji bulan lalu memastikan pihak terbabit dipertanggungjawabkan bagi pembunuhan Abu Akleh mengikut fakta diperoleh.

“Kami sedang mencari penyiasatan yang bebas dan boleh dipercayai. Apabila siasatan berjalan, kami akan akur kepada fakta diperoleh,” kata Blinken.

Israel nafi bersalah

Siasatan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), serta beberapa siasatan kewartawanan, mendapati tembakan yang membunuh Abu Akleh dilepaskan oleh tentera Israel.

“Kami mendapati tembakan yang membunuh Abu Akleh datang daripada pasukan keselamatan Israel,” kata jurucakap Pejabat Hak Asasi Manusia PBB Ravina Shamdasani kepada pemberita di Geneva.

“Amat membimbangkan pihak berkuasa Israel tidak menjalankan siasatan jenayah,” katanya.

Pejabat hak PBB memeriksa bahan foto, video dan audio, melawat tempat kejadian, berunding dengan pakar, menyemak komunikasi rasmi dan menemu bual saksi.

Siasatan itu meneliti hujah daripada tentera Israel dan peguam negara Palestin.

Bagaimanapun, tentera Israel menyifatkan penemuan PBB sebagai tidak berasas, menegaskan ia “tidak mungkin” untuk menentukan bagaimana Abu Akleh dibunuh.

“Siasatan IDF (Pasukan Pertahanan Israel) jelas menyimpulkan Cik Abu Akleh tidak ditembak secara sengaja oleh seorang askar IDF dan tidak mungkin untuk menentukan sama ada beliau dibunuh oleh seorang lelaki bersenjata Palestin yang ditembak secara rambang… atau secara tidak sengaja oleh askar IDF,” kata tentera.

Israel berulang kali meminta Pihak Berkuasa Palestin memberikannya peluru tetapi Palestin enggan berbuat demikian dan menolak sebarang kerjasama dengan Israel dalam siasatan. – AFP, 3 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen