DUA buah meriam syarikat India Timur (EIC) berusia dua abad ditemui ketika kerja-kerja penggalian dilakukan di Fort Cornwallis di George Town, Pulau Pinang.
Kedua-dua meriam itu mempunyai tanda kebesaran tentera “GR” - Georgius Rex, iaitu bahasa Latin bagi King George - menunjukkan meriam-meriam itu berasal dari zaman pemerintahan Raja George III (1760-1820).
Setiap berukuran 2.35 meter dan 2.2 meter. Kedua-dua meriam itu akan dihantar untuk pemuliharaan dan analisis lanjut.
Kedua-duanya dijumpai petang semalam, di sebelah barat kubu British berusia yang 232 tahun, semasa penggalian parit dan struktur pertahanan luar monumen itu.
Ahli arkeologi, Prof Mohd Mokhtar Saidin, yang mengetuai proses penggalian itu berkata meriam itu ditemui ketika mereka sedang menggali pintu masuk utama.
“Tiba-tiba kami jumpa meriam. Sebelum ini, peluru meriam.
“Kedua-duanya ada tanda ‘GR’ yang jelas, yang merujuk kepada Raja George seperti yang ditemui di Bukit Bendera dan tempat-tempat lain di Malaysia.
“Ia menandakan era meriam itu berasal,” katanya kepada pemberita di tapak penggalian itu.
Menurut Pengarah Pusat Penyelidikan Arkeologi Global Universiti Sains Malaysia (USM) itu lagi, satu lagi petunjuk berkenaan usia meriam-meriam tersebut ialah peta kubu bertarikh 1877 yang tidak mempunyai rekod senjata seperti itu.
“Kami perlu buat semakan lanjut untuk mengetahui usia meriam, bagaimana ia ada di sini dan kenapa.
“Kami dapat izin kerajaan negeri untuk bawa meriam-meriam ini ke USM untuk analisis selanjutnya,” kata Mokhtar.
Beliau juga berkata siasatan lanjut ke atas meriam-meriam itu boleh memberi lebih banyak pendedahan mengenai sejarah kubu itu sendiri.
“Apa yang kami temui melalui siasatan kami selepas ini mungkin akan mengubah tafsiran awal mengenai kubu itu.
“Mungkin tafsiran itu perlu disusun dan ditulis semula,” katanya.
Fort Cornwallis dinamakan sempena Gabenor Jeneral India masa itu - Charles Earl Cornwallis dan dibina oleh EIC pada akhir abad ke-18. – 20 Februari, 2018.
Komen