5 maut, lebih 90 cedera gempa bumi di selatan Iran


Mangsa gempa bumi terduduk melihat kerosakan yang berlaku di perkampungan Sayesh Khosh awal Sabtu.– Gambar AFP, 2 Julai, 2022.

SEKURANG-kurangnya lima maut dan lebih 90 lagi cedera dalam siri gempa bumi yang menggegar selatan Iran pada awal Sabtu lapor agensi berita tempatan, IRNA.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), gempa berukuran 6.0 magnitud itu melanda kawasan barat pelabuhan utama Bandar Abbas di wilayah Hormozgan di mana populasi penduduknya sekitar 500,000 orang.

Gabenor Hormozgan Mehdi Dousti mengesahkan angka kematian tersebut dan memberitahu perkampungan Sayeh Khosh berhampiran pusat gempa itu musnah sepenuhnya.

“93 orang cedera dan hanya 7 orang masih di hospital menerima rawatan,” kata jurucakap perkhidmatan kecemasan kebangsaan Mojtaba Khaled kepada televisyen tempatan.

Melalui rakaman yang disiarkan televisyen tempatan itu kelihatan ambulans dan beberapa kenderaan cuba masuk ke kawasan yang dipenuhi pelbagai serpihan manakala penduduk menyelamatkan diri ke jalan dan ada juga yang cuba menyelamatkan barang-barang dari rumah mereka yang roboh.

Menteri Dalam Negeri Ahmad Vahidi ketika melawat wilayah Hormozgan memberitahu siaran televisyen itu antara tumpuan utama kerajaan adalah memulihkan bekalan air dan elektrik.

Seorang terbunuh pada November tahun lalu apabila wilayah Hormozgan dilanda gempa berkembar 6.4 dan 6.3 magnitud.

Gempa paling dahsyat di Iran berukuran 7.4 magnitud yang melanda pada 1990 mengorbankan 40,000 orang di utara negara itu. - AFP


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen