'Political cornering' tidak untungkan BN, kata Zahid


Zahid berkata BN tidak akan membenarkan sebarang ‘political cornering' berlaku terhadap gabungan politik itu di Sabah seperti sebelum ini berulang. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Julai, 2022.

BARISAN Nasional (BN) tidak akan membenarkan sebarang ‘political cornering’ yang berlaku terhadap gabungan politik itu di Sabah sebelum ini berulang ketika membincangkan kerjasama mengenai pengagihan kerusi Parlimen dengan parti lain untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kata pengerusinya Ahmad Zahid Hamidi.       

Presiden UMNO itu berkata perkara tersebut berlaku semasa Pilihan Raya Negeri (PRN) pada September 2020 dan situasi itu tidak menguntungkan BN.

Bagaimanapun beliau tidak menjelaskan lebih lanjut apa yang dimaksudkan dengan ‘political cornering’ tersebut. 

“Saya tidak fikir kita perlu menempuh satu lagi ‘political cornering’, ia langsung tidak menguntungkan kita. Kita harus lebih berhati-hati dan mesti berada dalam kedudukan yang lebih berkuasa,” katanya dalam sidang akhbar di Penampang hari ini.

Terdahulu beliau merasmikan Konvensyen BN Sabah 2022 yang dihadiri kira-kira 5,000 orang. Turut hadir Timbalan Pengerusi BN Mohamad Hasan, Timbalan Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah Arthur Kurup dan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin.

Ahmad Zahid juga berkata BN akan menyerahkan kepada BN Sabah untuk berbincang dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) bagi menjelaskan beberapa isu termasuk pengagihan kerusi pada PRU15.

“Bagaimanapun saya percaya dinamik politik di Sabah harus dilayani. Saya rasa mereka (BN Sabah) melaporkan kepada kita jika masa mengizinkan mereka memperoleh keputusan daripada pemimpin negara.

“Sudah semestinya Tok Mat (Mohamad) dan saya akan berbincang dengan Bung Moktar serta pimpinan BN Sabah,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu berkata dalam melakukan persediaan menghadapi PRU15 BN Sabah perlu menterjemah sokongan rakyat terhadap gabungan tersebut ke dalam bentuk undi berbanding sekadar bermain dengan emosi tanpa membuat sebarang kajian politik mengenai kehendak rakyat di negeri itu.– Bernama, 2 Julai, 2022.
 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen