Pekerja Ryanair dan EasyJet mogok, ratusan penerbangan terjejas


Mogok menuntut kenaikan gaji dan tambah baik persekitaran kerja itu berlaku ketika sekolah di seluruh Eropah memulakan cuti musim panas. – Gambar AFP, 2 Julai, 2022.

LIMA belas penerbangan dari dan ke Sepanyol dibatalkan semalam dan berpuluh lagi penerbangan ditangguhkan selepas anak kapal syarikat tambang rendah Ryanair dan EasyJet melancarkan mogok.

Mogok menuntut kenaikan gaji dan tambah baik persekitaran kerja itu berlaku ketika sekolah di seluruh Eropah memulakan cuti musim panas.

Ia turut memberi kesan besar kepada pelanggan dan sektor penerbangan yang kini sukar mengambil pekerja selepas membuang ramai pekerja ketika pandemik berlaku.

Setakat 7 malam semalam, sembilan penerbangan EasyJet dibatalkan dan 54 lagi tertangguh apabila kesatuan sekerja, USO, memulakan mogok.

Enam penerbangan Ryanair juga terpaksa dibatalkan dan 277 lagi ditangguhkan, tambah kenyataan kesatuan sekerja lagi.

Anak kapal EasyJet dijadualkan memulakan mogok pada tiga minggu pertama bulan Julai untuk menuntut tambah baik persekitaran kerja setanding dengan syarikat penerbangan Eropah yang lain.

Mogok dibuat anak kapal Ryanair di Sepanyol melibatkan 1,900 pekerja pula bermula pada 24 Jun dan dijadualkan berlangsung sehingga hari ini. Ia menjejaskan kesemua 10 tapak syarikat itu di Sepanyol.

Pada Khamis, lebih 50 penerbangan Ryanair dari dan ke negara itu dibatalkan disebabkan mogok itu.

Mogok dibuat anak kapal antara 24 hingga 26 Jun membatalkan 129 penerbangan.

Penerbangan dari dua lapangan terbang terbesar di Paris, Charles de Gaulee dan Orly juga terganggu pada Khamis yang merupakan hari kedua mogok pekerja lapangan terbang. – AFP, 2 Julai, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen