SERANGAN Israel di pesisir barat Syria mencederakan dua orang awam hari ini, kata Kementerian Pertahanan Syria.
“Israel melancarkan serangan udara pada jam 6.30 pagi berhampiran bandar Al-Hamidiyah,” kata kementerian dalam satu kenyataan, mendedahkan kawasan serangan adalah ladang ternakan, walaupun tiada penjelasan diberikan.
Serangan itu dilancarkan dari Laut Mediterranean, barat Lubnan di bandar Tripoli, dan “mencederakan dua orang awam termasuk seorang wanita,” kata kenyataan.
Sejak perang saudara meletus di Syria pada 2011, Israel sudah melancarkan ratusan serangan udara di negara jirannya itu.
Serangan selalunya menyasarkan tentera kerajaan Syria serta tentera sekutu Irannya dan pejuangnya daripada kumpulan militant Shiah Lubnan, Hezbollah.
Bulan lepas, Israel menyerang Lapangan Antarabangsa Damsyik menyebabkan landasan tidak dapat digunakan selama beberapa minggu.
Walaupun berlaku kerosakan teruk ke atas landasan awam dan tentera, Pemerhati Syria untuk Hak Asasi berkata serangan itu menyasarkan gudang berhampiran yang digunakan sebagai gudang senjata Iran dan Hezbollah.
Perang di Syria sudah mengorbankan hampir setengah juta penduduk dan memaksa separuh lagi penduduk negara itu meninggalkan kediaman mereka. – AFP, 2 Julai, 2022.
Komen