Longgarkan syarat lesen untuk nelayan miskin, kata pengerusi LKIM


Radzi Razak

Syarat kelayakan sedia ada iaitu menangkap ikan sekurang-kurangnya selama 120 hari dalam setahun agak sukar untuk dipenuhi oleh nelayan miskin, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) Irmohizam Ibrahim. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Februari, 2018.

SYARAT mendapat lesen sampan bagi nelayan miskin wajar dilonggarkan, kata Pengerusi Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) Irmohizam Ibrahim, bagi membantu golongan itu supaya tidak tercicir.

Katanya, syarat kelayakan sedia ada iaitu menangkap ikan sekurang-kurangnya selama 120 hari dalam setahun agak sukar untuk dipenuhi oleh nelayan miskin.

Ini ditambah pula dengan pemberian lesen nelayan yang dihadkan oleh Jabatan Perikanan Malaysia, tambahnya.

“Saya memang dapat maklumat (tentang masalah nelayan tidak berlesen). Saya sendiri sudah mengangkat isu ini ke peringkat atasan. 

“Buat masa sekarang kriteria untuk mendapatkan lesen nelayan ialah kena jadi awak-awak dengan bot nelayan. Saya harap ia dapat dilonggarkan,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Irmohizam mengulas laporan The Malaysian Insight kelmarin yang mendedahkan nasib nelayan miskin di Kuala Selangor yang tidak berlesen dan bergelut dengan kemiskinan.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Perikanan Malaysia (LKIM) Irmohizam Ibrahim berkata beliau sendiri sudah membawa isu ini ke peringkat atasan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 Februari, 2018.

Seorang nelayan miskin di kawasan itu, Faizal Abdullah, 40, minggu lalu ditahan polis bersama isteri dan anak bongsunya berumur enam tahun selepas didakwa menceroboh tanah persendirian tapak benih kerang di Kampung Sungai Sembilang, Kuala Selangor.

Beliau dibebaskan pada petang yang sama dan keesokan harinya dibawa berbincang dengan tuan punya tapak benih kerang persendirian itu, bersama wakil jabatan perikanan dan pemimpin setempat.

Faizal adalah antara 50 nelayan kecil di Kampung Sungai Sembilang yang “secara curi-curi” menangkap ikan dan mengutip kerang sebagai punca rezeki.

Dalam reaksi segeranya, Irmohizam yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor turun tangan membantu keluarga tiga beranak ini yang menumpang di sebuah pondok kotak diperbuat daripada daripada zink dan kayu terpakai, ditutup dengan lapis-lapis perca plastik dan banting iklan, bagi mendapat rumah dan kad nelayan daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Kita dah berbincang dengan Jabatan Perikanan untuk menjadikan beliau sebagai awak-awak berdaftar dengan yang membolehkannya menerima bantuan elaun sara hidup. 

“Seorang pemilik bot juga setuju jadikan dia (Faizal) sebagai awak-awak. Selepas 120 hari beliau boleh memohon kad nelayan di bawah Akta Perikanan,” kata beliau.

Rumah baru 

Selain itu pihaknya juga bekerjasama dengan jawatankuasa kemajuan dan keselamatan kampung (JKKK) dan pihak Lembaga Zakat Selangor untuk membina rumah baru yang lebih selesa berbanding pondok kotak seluas 3 meter persegi yang didiami Faizal sekeluarga sejak dua tahun lalu.

Menurut ahli JKKK, Abdul Shukor Mohamad yang turut bersama dengan perbincangan pasukan LKIM dan ahli parlimen sejak dua hari lalu, keluarga Faizal kini bakal melihat masa depan yang lebih cerah.

“LKIM dah janji nak bantu bina rumah murah secara gotong-royong untuk keluarga ini. Sekarang sedang berbincang dengan tuan tanah.

“Baru sekejap tadi, pegawai zakat datang untuk beri bantuan pindah rumah sewa sementara yang lebih selesa,” kata Abdul Shukor kepada The Malaysian Insight.

“LKIM juga kata akan bantu nelayan miskin tanpa lesen di kawasan ini dan akan mengadakan perbincangan lanjut selepas ini. Tetapi tumpuan sekarang ialah untuk bantu keluarga Faizal terlebih dahulu,” tambahnya.

Abdul Shukor yang juga seorang nelayan bagaimanapun mengaku terkilan kerana persoalan pokok masih tidak dapat diselesaikan apabila wakil pejabat perikanan daerah tidak turut serta dalam kedua-dua pertemuan semalam dan hari ini.

“Masalahnya sekarang Jabatan Perikanan tak turun. Sampai sekarang jabatan masih tak respons masalah ini,” katanya.

The Malaysian Insight cuba menghubungi jabatan perikanan daerah namun sehingga ini tidak mendapat sebarang maklum balas. – 20 Februari, 2018.

Faizal Abdullah, 40, minggu lalu ditahan polis bersama isteri dan anak bongsunya berumur enam tahun selepas didakwa menceroboh tanah persendirian tapak benih kerang di Kampung Sungai Sembilang, Kuala Selangor. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Februari, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen