Korea Utara bidas G7 berhubung program nuklear, peluru berpandu


Kementerian Luar Korea Utara dalam satu kenyataan berkata langkahnya untuk perkukuh keupayaan ketenteraannya adalah sebagai "melaksanakan hak mempertahankan diri yang munasabah dan sah" untuk melindungi hak dan kepentingannya daripada ancaman Amerika Syarikat. – Gambar EPA, 2 Julai, 2022.

KOREA Utara pada Sabtu memaklumkan negara ini tidak akan berganjak untuk terus “mempertahankan diri” terhadap ancaman Amerika Syarikat (AS).

Kenyataan itu dikeluarkan Pyongyang susulan kenyataan terbaru pemimpin Kumpulan Tujuh (G7) pada sidang kemuncak di Jerman awal minggu ini, lapor Agensi Berita Yonhap.

Kenyataan pemimpin G7 itu antara lain menggesa Pyongyang untuk menamatkan program nuklear dan peluru berpandunya.

Ketua pengarah jabatan pertubuhan antarabangsa di Kementerian Luar Korea Utara, Jo Chol Su, berkata langkah rejim untuk memperkukuh keupayaan ketenteraannya adalah sebagai “melaksanakan hak  mempertahankan diri yang munasabah dan sah” untuk melindungi hak dan kepentingannya daripada ancaman AS, menurut Agensi Berita Pusat Korea (KCNA).

“Jadi, tiada siapa yang berhak untuk menyalahkannya. Kami tidak akan sekali-kali berundur demi mempertahankan maruah dan hak negara kami, biarlah apa orang lain nak cakap,” katanya

AS adalah anggota G7 bersama Britain, Kanada, Perancis, Jerman, Itali dan Jepun. – Bernama, 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen