3 lelaki direjam sampai mati rogol budak lelaki


MAHKAMAH syariah di Bauchi, utara Nigeria menjatuhkan hukuman rejam sampai mati terhadap tiga lelaki selepas disabitkan bersalah atas tuduhan merogol dua kanak-kanak lelaki.

Polis syariah Adamu Dankafi berkata mahkamah di bandar Ningi itu menjatuhkan hukuman terhadap ketiga-tiga pesalah pada Rabu lalu.

Katanya, mereka didakwa merogol dua kanak-kanak lelaki yang juga adik-beradik selepas memberikan mereka dadah.

“Mahkamah Tinggi Syariah menjatuhkan hukuman mati ke atas tiga lelaki itu kerana melakukan perbuatan homoseksual dengan dua beradik lelaki berusia 10 dan 12 tahun.

“Ketiga-tiga mereka akan direjam hingga mati mengikut Kanun Keseksaan Syariah negeri Bauchi berdasarkan pengakuan mereka ketika disoal di hadapan mahkamah,” katanya.

Merogol kanak-kanak bawah umur boleh dikenakan hukuman mati di bawah undang-undang syariah Nigeria, walaupun seperti kebanyakan hukuman mati yang lain, ia tidak pernah dikuatkuasakan.

Dalam kes ini, semua lelaki itu didakwa di bawah undang-undang yang berkaitan dengan perbuatan homoseksual.

Bauchi antara negeri di utara Nigeria dengan majoriti penduduknya beragama Islam di mana undang-undang syariah dilaksanakan bersama keadilan jenayah biasa.

Katanya, tertuduh ditahan di kampung Gwada pada Mei lalu berikutan aduan diterima daripada ibu bapa kanak-kanak berkenaan yang mendakwa anak mereka diberikan dadah sebelum diperlakukan seperti itu.

“Lelaki berusia antara 20 dan 70 tahun itu tidak diwakili peguam ketika perbicaraan dan mereka mempunyai masa sebulan untuk mengemukakan rayuan,” katanya. – AFP, 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen