Ukraine dakwa peluru berpandu Rusia bunuh 21 orang


Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky mendakwa Moscow terlibat dalam keganasan apabila melancarkan peluru berpandu bandar peranginan di Sergiyvka dekat Odesa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 21 nyawa selain mencederakan 38 yang lain. – Gambar EPA, 2 Julai, 2022.

PRESIDEN Ukraine Volodymyr Zelensky pada Jumaat menuduh Rusia terlibat dalam “keganasan” ketika beliau menyalahkan Moscow atas serangan peluru berpandu terhadap bandar peranginan selatan yang menyebabkan 21 maut dan berpuluh lagi cedera.

Peluru berpandu merempuh sebuah bangunan pangsapuri dan pusat rekreasi di bandar Sergiyvka kira-kira 80 kilometer selatan pelabuhan Laut Hitam Odessa, yang telah menjadi titik strategik dalam perang yang sudah berlangsung lebih empat bulan.

Serangan itu berlaku sehari selepas Moscow meninggalkan kedudukan di pulau strategik itu.

Antara yang maut termasuk seorang budak lelaki berusia 12 tahun, kata Zelensky dalam ucapan hariannya, menambah kira-kira 40 orang telah cedera dan jumlah kematian mungkin meningkat.

“Saya tekankan: ini adalah tindakan keganasan Rusia yang disengajakan – dan bukan sejenis kesilapan atau serangan peluru berpandu yang tidak disengajakan,” kata Zelensky.

“Tiga peluru berpandu mengenai bangunan pangsapuri sembilan tingkat, di mana tiada sesiapa menyembunyikan sebarang senjata, sebarang peralatan ketenteraan,” tambahnya. “Orang biasa, orang awam, tinggal di sana.”

Sergiy Bratchuk, timbalan ketua daerah Odessa, berkata di televisyen Ukraine, serangan dilancarkan oleh pesawat yang terbang dari Laut Hitam sebelum melepaskan peluru berpandu yang “sangat berat dan sangat kuat”. – AFP, 2 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen