China sumbang 51 juta vaksin Covid-19 kepada Myanmar


China sudah menyumbang lebih 600 juta dos vaksin Covid-19 kepada negara anggota Asean setakat ini. – Gambar fail EPA, 1 Julai, 2022.

CHINA sekali lagi memberikan bantuan vaksin Covid-19 kepada Myanmar melalui Asean, sekali gus mencerminkan keutamaan China terhadap badan serantau itu dan sokongannya untuk kerja bantuan kemanusiaan kepada Myanmar.

Menurut Duta China ke Myanmar, Chen Hai, sejak berlakunya pandemik Covid-19, China dan Myanmar saling menyokong untuk bersama-sama mengatasi kesukaran serta cabaran.

“Setakat ini, China menyumbang 51 juta dos vaksin kepada Myanmar, membantu Myanmar merealisasikan pengisian dan pengeluaran vaksin tempatan, selain membuka saluran hijau untuk bahan pencegahan pandemik dieksport ke Myanmar,” kata Chen pada majlis penyerahan bantuan itu di Kedutaan China di Myanmar, pada Khamis.

Beliau berkata, Asean antara tumpuan kerjasama China dalam usaha melawan pandemik dan China menyumbang lebih 600 juta dos vaksin setakat ini.

“China komited terus memperdalam perkongsian strategik komprehensif dengan Asean dan menjalankan kerjasama melawan pandemik dengan Asean demi memacu pemulihan ekonomi pasca pandemik,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, China turut menyokong Asean dalam melaksanakan konsensus 5 perkara dan memajukan proses damai di Myanmar.

“Dasar persahabatan China terhadap Myanmar sentiasa ditujukan kepada semua rakyat Myanmar dan akan terus memberikan bantuan yang diperlukan kepada Myanmar melalui pelbagai saluran.

“China juga akan bekerjasama dengan Asean bagi memainkan peranan yang membina dalam proses transformasi negara di Myanmar,” jelas Chen.

Sementara itu, duta khas Asean di Myanmar, Prak Sokhonn menghargai sokongan China kepada Asean dan menyatakan bantuan China itu membuktikan komitmennya.

“Asean berharap membantu Myanmar kembali normal, menggalakkan pelaksanaan konsensus 5 perkara, meneruskan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar, selain mewujudkan suasana saling percaya antara pelbagai pihak untuk kesejahteraan rakyat Myanmar,” katanya.

Timbalan Setiausaha Agung Asean, Ekkaphab Phanthavong yang turut hadir pada majlis itu menzahirkan harapan agar lebih ramai rakan dialog Asean dapat menghulurkan bantuan kepada Asean seperti China dan menyokong usaha Asean.

Beliau berkata, bantuan kemanusiaan Asean kepada Myanmar akan menegakkan prinsip kemanusiaan, berkecuali, kesaksamaan dan kemerdekaan, dan menyampaikan bantuan kepada orang yang memerlukan di seluruh Myanmar. – Bernama, 1 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen