Ketua EU gesa Ukraine percepat pembaharuan anti-rasuah


Ucapan Presiden Suruhanjaya Kesatuan Eropah Ursula von der Leyen mendapat pujian Parlimen Ukraine dan kerajaan Presiden Volodymyr Zelensky atas dorongan pantas dan usaha mereka untuk menjadi calon keahlian EU. – Gambar EPA, 1 Julai, 2022.

PRESIDEN Suruhanjaya Kesatuan Eropah Ursula von der Leyen memberitahu Parlimen Ukraine bahawa keahlian EU “dalam genggaman” tetapi menggesa mereka supaya terus berusaha melaksanakan pembaharuan anti-rasuah.

“Anda sudah membentuk jawatankuasa anti-rasuah yang mengagumkan,” katanya kepada ahli Parlimen melalui pautan video.

“Tetapi kini institusi ini memerlukan taring, dan orang yang tepat dalam jawatan kanan.”

Ucapan Von der Leyen mendapat pujian Parlimen Ukraine dan kerajaan Presiden Volodymyr Zelensky atas dorongan pantas dan usaha mereka untuk menjadi calon keahlian EU.

Malah, beliau menegaskan Brussels dan negara anggota EU berada di belakang Ukraine dalam kedua-dua pertempurannya susulan pencerobohan Russia yang berterusan dan usaha untuk “bersatu semula dengan keluarga Eropah kami”.

Tetapi beliau juga menegaskan keperluan untuk membina reformasi yang diperkenalkan sejak pemberontakan Ukraine 2014 terhadap kerajaan terdahulu untuk memerangi rasuah dan cengkaman oligarki terhadap ekonominya.

“Ketua Pejabat Pendakwa Anti Rasuah dan pengarah Biro Pencegahan Rasuah Kebangsaan baharu Ukraine harus dilantik secepat mungkin,” katanya.

Von der Leyen menggesa Parlimen Ukraine meluluskan undang-undang selaras dengan norma yang digalakkan Majlis Eropah untuk menambah baik prosedur pemilihan hakim bebas di mahkamah berperlembagaan.

“Institusi mesti dihidupkan, supaya ia dapat menyampaikan aspirasi rakyat anda,” katanya.

Ukraine memohon keahlian EU hanya lima hari selepas pencerobohan Russia pada 24 Februari lalu dan 27 negara anggota sedia ada menerima pencalonannya pada 23 Jun, sebagai tanda sokongan yang kuat.

Bagaimanapun, proses penyertaan boleh mengambil masa bertahun-tahun, dan pencalonan Turki serta beberapa negara di Balkan barat terhenti kerana ibu negara barat menegaskan kriteria ekonomi dan undang-undang yang sukar. – AFP, 1 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen