9 maut dalam perhimpunan anti-rampasan kuasa Sudan


Pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan anti-rampasan kuasa. – Gambar EPA, 1 Julai, 2022.

SEKURANG-KURANGNYA sembilan penunjuk perasaan Sudan terbunuh ketika pasukan keselamatan berusaha untuk menghalang perhimpunan besar-besaran bagi menuntut penamatan pemerintahan tentera, kata pegawai perubatan pro-demokrasi.

Tindakan keras berterusan terhadap gerakan anti-rampasan kuasa, wartawan AFP melaporkan pasukan keselamatan terpaksa melepaskan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan puluhan ribu penunjuk perasaan.

“Walaupun kami mati, tentera tidak akan memerintah kami,” laungan penunjuk perasaan, menggesa penamatan rampasan kuasa tentera Oktober lalu pimpinan Abdel Fattah al-Burhan yang mendorong kerajaan asing mengurangkan bantuan sekali gus memburukkan lagi krisis ekonomi.

Sekurang-kurangnya tujuh daripada sembilan terbunuh ditembak di dada atau kepala, kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan, menjadikan jumlah kematian keseluruhan kepada 112 daripada keganasan berkaitan protes sejak Oktober lalu.

Salah seorang daripada mereka adalah kanak-kanak bawah umur, kata doktor.

“Turun Burhan,” laung orang ramai dengan protes dan keganasan berkobar di kedua-dua ibu kota Khartoum dan pinggir bandarnya, termasuk bandar berkembar Omdurman, di seberang sungai Nil.

Pasukan keselamatan melepaskan tembakan air, ketika penunjuk perasaan cuba membakar tayar.

Pakar perubatan juga melaporkan “beberapa percubaan untuk menyerbu hospital di Khartoum,” dengan pasukan keselamatan melepaskan gas pemedih mata ke dalam satu hospital, di mana sebahagian daripada mereka yang cedera semasa protes dirawat.

Protes di Khartoum lebih besar daripada biasa dan di luar ibu negara tunjuk perasaan juga berlaku di Wad Madani, wilayah Darfur, Kassala dan Gedaref serta bandar pelabuhan Sudan, kata saksi.

Talian Internet dan telefon terganggu sejak awal pagi semalam, satu langkah yang sering dikenakan pihak berkuasa Sudan untuk menghalang perhimpunan besar-besaran.

Menjelang petang, komunikasi dipulihkan sebahagiannya.

Kawalan keselamatan diketatkan di Khartoum walaupun keadaan darurat ditarik balik baru-baru ini selepas rampasan kuasa. – AFP, 1 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen