Bank Dunia tubuh dana persediaan tangani pandemik masa depan


Lembaga Bank Dunia lulus penubuhan dana yang bertujuan membiayai pelaburan memperkukuh usaha memerangi pandemik. – Gambar AFP, 1 Julai, 2022.

LEMBAGA Bank Dunia meluluskan penubuhan dana yang bertujuan membiayai pelaburan bagi memperkukuh usaha memerangi pandemik.

Dalam satu kenyataan ia berkata dana itu akan menyokong pencegahan, kesediaan dan tindak balas atau PPR dengan tumpuan kepada negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Kos manusia, ekonomi dan sosial yang merugikan akibat Covid-19 menyerlahkan keperluan mendesak untuk tindakan yang diselaraskan bagi membina sistem kesihatan lebih kukuh serta menggerakkan sumber tambahan,” katanya.

Bank Dunia berhasrat dana itu dibuka pada akhir tahun ini dan dibangunkan di bawah kepimpinan Amerika Syarikat (AS), Itali dan Indonesia, sebagai sebahagian daripada tanggungjawab jawatan presiden G20 serta melalui sokongan meluas daripada G20.

Ia akan digunakan dalam beberapa bidang, termasuk pengawasan penyakit, dengan lebih AS$1 bilion komitmen diumumkan.

“Bank Dunia adalah penyedia pembiayaan terbesar untuk PPR dengan operasi aktif di lebih 100 negara membangun untuk mengukuhkan sistem kesihatan mereka,” kata Presiden Bank Dunia David Malpass, dalam kenyataan itu.

Dana perantara kewangan (FIF) itu akan menyediakan pembiayaan untuk melengkapkan tindakan institusi sedia ada dalam menyokong negara dan wilayah berpendapatan rendah serta sederhana untuk bersedia menghadapi pandemik seterusnya,” kata Bank Dunia.

Presiden Pertubuhan Kesihatan Sedunia Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata mereka adalah pemegang taruh dalam projek itu dan akan menyediakan kepakaran teknikal. – AFP, 1 Julai, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen