POLIS Maghribi menahan lebih 80 penyokong dalam keganasan yang tercetus ketika kejohanan bola sepak di Casablanca dan Oudja.
Di Casablanca, polis menahan 45 individu pada Rabu, termasuk 31 di bawah umur, disyaki melakukan keganasan dan kerosakan terhadap harta awam.
Insiden berlaku ketika perlawanan antara Raja Casablanca dan Royal Armed Forces (FAR), di mana empat anggota polis cedera akibat dibaling batu dan dua kereta dirosakkan.
Di kota Oudja, 39 penyokong ditahan kerana bertindak ganas, mencuri atau memiliki senjata tajam ketika perlawanan antara Mouloudia Oujda dan Wydad Casablanca.
Pertembungan itu menyebabkan 60 polis cedera ringan dan seorang pengawal keselamatan terpaksa dikejarkan ke hospital.
Sebelum itu keganasan turut tercetus di Rabat dan Agadir di mana lapan penyokong dijatuhi hukuman penjara empat bulan sehingga setahun.
Bola sepak Maghribi sering dicemari insiden keganasan penyokong, terutama membabitkan pasukan Wydad dan Raja.
Selepas dua penyokong terkorban pada awal 2016, pihak berkuasa mengharamkan kumpulan penyokong “ultras” dan melarang kemasukan slogan serta sepanduk mereka ke dalam stadium.
Peraturan itu bagaimanapun dilonggarkan pada 2018. – AFP, 1 Julai, 2022.
Komen