SEORANG pengarah urusan dan seorang ketua pegawai eksekutif di sebuah syarikat pelaburan dihadapkan ke dua Mahkamah Sesyen Butterwoth hari ini atas 60 pertuduhan menerima wang deposit tanpa lesen yang sah, berjumlah RM750,000 untuk tujuan pelaburan antara 2019 hingga 2020 lalu.
Tertuduh, Mohd Nasri Abdul Rahim, 36, dan Abdul Wahab S. Mohd Mydin, 53, masing-masing mengaku tidak bersalah ke atas semua pertuduhan tersebut di hadapan Hakim Noor Aini Yusof dan Hakim Norhayati Mohamad Yunus, dalam kamar mahkamah berbeza.
Di hadapan Hakim Noor Aini, Mohd Nasri menghadapi 19 pertuduhan, iaitu 16 kerana menerima deposit tanpa lesen yang sah dan tiga pertuduhan kerana bersubahat dengan Abdul Wahab untuk menerima deposit tanpa lesen yang sah.
Abdul Wahab pula didakwa atas 11 pertuduhan yang sama, satu kerana menerima deposit tanpa lesen yang sah dan 10 pertuduhan kerana bersubahat dengan Mohd Nasri, untuk menerima deposit tanpa lesen yang sah.
Mohd Nasri dan Abdul Wahab didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Pertuduhan bersubahat terhadap kedua-dua Mohd Nasri dan Abdul Wahab dibacakan bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Menurut kertas pertuduhan, Mohd Nasri didakwa menerima deposit tanpa lesen yang sah untuk tujuan pelaburan antara April 2019 and Februari 2020 melalui deposit tunai daripada tiga mangsa, di pelbagai lokasi bank di Pulau Pinang dan sekali di Selangor.
Manakala Abdul Wahab dituduh melakukan semua kesalahan itu antara April 2019 dan Februari 2020 melalui deposit tunai daripada tiga mangsa di pelbagai lokasi bank di Pulau Pinang dan sekali di Selangor.
Mahkamah kemudian menetapkan 1 Ogos untuk sebutan semula semua kes dan membenarkan Mohd Nasri untuk diikat jamin berjumlah RM117,000 untuk semua pertuduhan, dengan seorang penjamin serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Abdul Wahab pula dibenarkan untuk diikat jamin berjumlah RM71,000 untuk semua pertuduhan dengan seorang penjamin, serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Nur Fazliyana Ahmad memohon mahkamah menetapkan ikat jamin RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhaadap Mohd Nasri dan Abdul Wahab.
Mohd Nasri yang diwakili peguam S. Raveentharan memohon jumlah ikat jamin dikurangkan atas alasan anak guamnya menghidap kencing manis dan darah tinggi, manakala Abdul Wahab yang diwakili peguam Muhamad Sharulnizam Md Roni memohon jumlah itu dikurangkan kerana anak guamnya telah berkahwin dengan lima anak dan mempunyai penyakit jantung serta sakit belakang dan gastik yang teruk.
Sementara itu di hadapan Hakim Norhayati Mohamed Yunus, Mohd Nasri didakwa atas 11 pertuduhan menerima deposit tanpa lesen sah daripada tiga mangsa antara April 2019 dan Februari 2020 daripada tiga mangsa yang sama di beberapa lokasi di Pulau Pinang dan sekali di Selangor.
Di mahkamah yang sama, Abdul Wahab didakwa dengan 19 pertuduhan, iaitu satu untuk menerima deposit tanpa lesen yang sah dan 18 pertuduhan kerana bersubahat dengan Mohd Nasri untuk menerima deposit tanpa lesen yang sah.
Dia didakwa mengikut Seksyen 137 (1) Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 137 (2) akta sama yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda sehingga RM50 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Manakala pertuduhan bersubahat dibacakan bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.
Menurut kertas pertuduhan, semua kesalahan itu dilakukan antara April 2019 dan Februari 2020 melalui deposit tunai daripada tiga mangsa di pelbagai lokasi bank di Pulau Pinang dan sekali di Selangor.
Timbalan Pendakwa Raya Qatrin Harun memohon mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Mohd Nasrin, bagaimanapun Raveentharan memohon jumlah tersebut dikurangkan dengan memberikan alasan sama seperti yang disebut di mahkamah sebelum ini.
Qatrin juga meminta jaminan ditetapkan RM10,000 bagi setiap pertuduhan terhadap Abdul Wahab bagaimanapun, Muhamad Sharulnizam memohon jumlah tersebut dikurangkan kerana anak guamnya menghadapi 11 pertuduhan di mahkamah berasingan dan memberikan alasan yang sama untuk pengurangan jaminan seperti yang dinyatakan sebelum ini.
Mahkamah menetapkan ikat jamin RM5,000 bagi setiap pertuduhan, berjumlah RM55,000, kepada Mohd Nasrin dan RM5,000 berjumlah RM95,000 bagi Abdul Wahab, dengan seorang penjamin setiap seorang serta syarat tambahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai.
Beliau kemudian menetapkan sebutan kes bagi kedua-dua Mohd Nasri dan Abdul Wahab untuk 1 Ogos sementara menunggu penyerahan dokumen. – Bernama, 30 Jun, 2022.
Komen