Presiden Filipina Marcos Jr puji pemerintahan diktator bapanya


Ferdinand "Bongbong" Marcos Jr, 64, hari ini mengangkat sumpah dalam majlis di Muzium Negara Manila dihadiri ratusan pembesar tempatan dan asing, serta wartawan dan penyokong. – Gambar AFP, 30 Jun, 2022.

PRESIDEN Filipina Ferdinand Marcos Jr yang baru mengangkat sumpah jawatan hari ini memuji pemerintahan diktator bapanya, sekali gus menandakan kembalinya keturunannya ke pejabat tertinggi Filipina.

Ferdinand “Bongbong” Marcos Jr, 64, menang besar dalam pilihan raya bulan lalu, memperoleh kemenangan terbesar sejak bapanya digulingkan melalui pemberontakan pada 1986.

Beliau menggantikan Rodrigo Duterte yang terkenal dengan perang dadahnya sehingga membunuh ribuan rakyatnya sendiri yang disyaki pengedar.

Marcos Jr mengangkat sumpah pada tengah hari dalam majlis di Muzium Negara Manila di hadapan ratusan pembesar tempatan dan asing, serta wartawan dan penyokong.

Dengan ibunya, Imelda, 92 tahun, duduk dekatnya, Marcos Jr memuji rejim mendiang bapanya, yang disifatkan oleh pengkritik sebagai tempoh gelap pelanggaran hak asasi manusia dan rasuah.

“Saya pernah kenal seorang lelaki yang nampak cuma sedikit sahaja dicapai sejak merdeka… Beliau berjaya melakukannya,” kata Marcos Jr selepas mengangkat sumpah jawatan, mendakwa bapanya membina lebih banyak jalan raya dan menghasilkan lebih banyak beras berbanding semua pendahulunya.

Menjelang majlis angkat sumpah, Duterte menerima Marcos Jr di istana presiden Malacanang - yang mana keluarga Marcos melarikan diri ke dalam buangan 36 tahun lalu.

Duterte, 77, memakai pelitup muka dan baju formal tradisionalnya, dengan ciri-ciri tidak berbutang di bahagian atas dan lengan dilipat, dalam pertemuan dengan Marcos Jr, yang pernah disifatkannya sebagai “lemah”.

Majlid itu diadakan beberapa hari selepas Mahkamah Agung menolak percubaan terakhir untuk menggugurkan kelayakan Marcos Jr daripada pilihan raya dan menghalangnya memegang jawatan.

Memandangkan kenaikan harga menghimpit ekonomi yang telah dilanda Covid-19, Marcos Jr telah menjadikan usaha menangani inflasi, meningkatkan pertumbuhan dan pengeluaran makanan sebagai keutamaannya.

Beliau telah mengambil langkah yang jarang berlaku dengan melantik dirinya sebagai setiausaha pertanian untuk baik pulih sektor yang dilanda masalah itu.

Marcos Jr juga telah berjanji untuk mempertahankan hak Filipina ke atas Laut China Selatan yang dipertikaikan, yang dituntut oleh Beijing.

Pengulas pro-Duterte, Rigoberto Tiglao, menulis baru-baru ini bahawa beliau optimis untuk “ledakan ekonomi” di bawah Marcos Jr. – AFP, 30 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen