Jokowi tawar jadi perantara sampaikan mesej Zelensky kepada Putin


Presiden Indonesia Joko Widodo ketika bertemu rakat sejawat Ukraine Volodymyr Zelensky (kanan) berkata resolusi damai amat penting walaupun sukar dicapai, dan hasrat untuk mengecapi keamanan tidak boleh luntur. – Gambar EPA, 30 Jun, 2022.

PRESIDEN Indonesia Joko Widodo menawarkan diri untuk menyampaikan mesej daripada Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky kepada pemimpin Rusia dalam usaha untuk menjadi pengantara keamanan.

Joko Widodo yang berada dalam rangka kerja ke Ukraine, mengadakan pertemuan dengan Zelensky di Istana Maryinsky di Kyiv pada Rabu, menurut kenyataan pejabat presiden Indonesia.

Presiden itu yang juga dikenali dengan panggilan mesra Jokowi, mengesahkan pendirian Indonesia dalam menghormati kedaulatan dan integriti wilayah, ketika bercakap pada sidang media bersama dengan Zelensky.

Jokowi berkata resolusi damai amat penting walaupun sukar dicapai, dan hasrat untuk mengecapi keamanan tidak boleh luntur.

“Saya menawarkan untuk menyampaikan mesej daripada Presiden Zelensky kepada Presiden (Vladimir) Putin, yang akan saya temui tidak lama lagi,” menurut kenyataan itu.

Jokowi bersama wanita pertama Iriana Joko Widodo, termasuk Menteri Luar Retno Marsudi berkunjung ke Poland sejurus selepas pertemuan itu.

Presiden dan delegasi itu dijadualkan berlepas ke Moscow pada Khamis bagi meneruskan misi keamanannya. – Bernama, 30 Jun, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen