PASUKAN keselamatan Sudan pada Rabu membunuh seorang penunjuk perasaan semasa protes terbaharu menentang rampasan kuasa tentera, kata pegawai perubatan.
Penunjuk perasaan yang belum dikenal pasti itu maut selepas ditembak di dada semasa protes di Khartoum Utara, kata Jawatankuasa Pusat Doktor Sudan yang pro-demokrasi.
Kematian terbaharu itu meningkatkan angka maut kepada 103 orang sejak tindakan keras terhadap protes rampasan kuasa bermula pada 25 Oktober yang diketuai oleh ketua tentera Abdel Fattah al-Burhan, menurut jawatankuasa itu.
Demonstrasi pada Rabu menyaksikan ratusan orang turun ke jalan raya di beberapa kawasan sekitar Khartoum untuk menggesa pemerintahan awam.
Ramai yang membawa sepanduk menggesa penunjuk perasaan turun ke jalan raya beramai-ramai pada Khamis, menurut saksi.
Pembunuhan itu berlaku ketika diplomat Barat dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu menggesa pihak berkuasa Sudan berhenti daripada bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan menjelang protes yang dirancang pada Khamis, yang menandakan 33 tahun sejak diktator Omar al-Bashir merampas kuasa.
Bashir telah digulingkan pada April 2019, dan pada tahun sama perjanjian perkongsian kuasa telah diwujudkan antara tentera dan orang awam, namun peralihan itu telah dipatahkan oleh rampasan kuasa Burhan sendiri tahun lepas.
Sudan, salah satu negara termiskin di dunia, sejak tahun lalu terjerumus ke dalam pergolakan yang semakin teruk, dengan protes hampir setiap minggu, selain harga yang melambung tinggi, kekurangan makanan yang mengancam nyawa dan pertembungan etnik.
PBB, Kesatuan Afrika dan blok serantau IGAD telah mendesak untuk memudahkan perbincangan terus di kalangan puak Sudan untuk menyelesaikan krisis itu.
Awal bulan ini, pegawai tentera, wakil daripada beberapa parti politik dan anggota kanan kumpulan bekas pemberontak menghadiri permulaan rundingan.
Tetapi kumpulan awam utama enggan mengambil bahagian. – AFP, 30 Jun, 2022.
Komen